Saturday, May 14, 2011

Indahnya Seri Malaysia, Melaka


KOLAM di Hotel Seri Malaysia, Melaka bukan sekadar untuk aktiviti renang malah menyajikan halwa mata menyamankan dengan seni landskap yang menarik.


SEANDAINYA dinilai dari luaran Hotel Seri Malaysia yang hanya mengambil masa lima minit untuk sampai dari Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka, ia kelihatan seperti tiada keistimewaan.

Pun begitu, apabila menyebut Hotel Seri Malaysia, Melaka sudah terbayang penginapan selesa membuatkan pengunjung datang semula ke hotel itu.

Ditambah pula ia terletak di Bandar Raya Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), menjadikan ia destinasi yang cukup menyeronokkan.

Tidak hairanlah Hotel Seri Malaysia menjadi tempat persinggahan pelancong yang ingin melawat kesan peninggalan sejarah silam Zaman Kesultanan Melayu Melaka di Banda Hilir.

Bilik-bilik penginapannya mampu menampung pengunjung individu, berkeluarga dan rombongan dengan mempunyai 100 bilik standard, family, deluxe dan juga suite.

Berehat di bilik yang disediakan cukup luas dan selesa di samping katil besar, menggamit pengunjung untuk melepaskan penat selepas seharian berjalan.

Paling menarik apabila berada di hotel ini ialah menikmati sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam di sebuah restoran dikenali sebagai 'Jonker Cafe'.

Restoran ini menyediakan pelbagai juadah istimewa terutama pada hujung minggu dikenali sebagai 'Weekend Brunch' yang menyajikan makanan lazat dengan pelbagai pilihan dan cita rasa seperti sushi.

Sambil menikmati hidangan, pengunjung akan disajikan persembahan hiburan secara live oleh Briged Seni Melaka dengan pelbagai lagu Melayu Asli terutama Dondang Sayang yang sinonim dengan Melaka.

Hotel Seri Malaysia, Melaka turut diserikan dengan landskap pelbagai spesies pokok bunga.

Tidak hairanlah, hotel yang beroperasi sejak 2006 ini memenangi anugerah landskap terbaik di Melaka pada 2009.

Tahun berkenaan merupakan tarikh paling menggembirakan buat pengurusan hotel berkenaan apabila menerima dua anugerah iaitu Hotel 3 Bintang Terbaik dan 'Most Promising Franchisee'.

Tarikan utamanya ialah menjadi pelopor dalam memperkenalkan budaya dan makanan penduduk di Melaka ke luar negara menerusi promosi yang kerap diadakan.

Terbaru, hotel itu mengadakan promosi pertukaran budaya dan makanan dengan Hotel Aryaduta di Pekanbaru, Riau, Indonesia selain bakal mengadakan program Minggu Pesta Makanan dan Kebudayaan Terengganu dari 10 hingga 18 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: