Saturday, May 14, 2011

Kota Sydney tarikan dunia


MENYAKSIKAN panorama Sydney dari Harbour Bridge.


DIKELILINGI tebingan air yang indah, seni bina ikonik dan alam semula jadi yang menakjubkan, Sydney merupakan satu daripada pilihan percutian terbaik untuk dicuba.

Apa sahaja kecenderungan minat semasa melancong, bandar terbesar di Australia yang menduduki carta 10 kota terbaik untuk didiami itu mampu memenuhi segala kehendak percutian.

Kota metropolitan yang dipenuhi warna-warni festival, seni budaya, aneka selera makanan dan aktiviti yang cukup mendebarkan itu membawa masuk tidak kurang daripada 22 juta pelancong setiap tahun.

Sydney menawarkan banyak tempat menarik untuk dipilih. Seringkali disalah-anggap sebagai ibu negara Australia, Sydney merupakan tuan rumah kepada dua ikon paling hebat di bumi Australia iaitu Opera House dan Harbour Bridge.

Tetapi kedua-duanya bukan semata-mata tarikan di Sydney. Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi di tenggara pulau Australia itu, kepelbagaian tarikan pasti membuatkan mereka rambang mata untuk memilih. Seperti biasa, tarikan utama adalah destinasi pertama yang harus dicuba dan tidak boleh dilepas pandang.

Opera House

Percutian ke Sydney sememangnya tidak akan lengkap tanpa menjenguk ke pusat seni kota yang menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu persembahan bertaraf antarabangsa setiap tahun.

Bahkan bangunan berbentuk cengkerang siput yang kita kenali sejak dari bangku sekolah itu boleh dikatakan sebagai objek paling sinonim dengan Sydney. Walaupun tidak mendapat tempat duduk di barisan teater berprestij itu, berdiri di depan kubahnya sahaja sudah cukup untuk mengabadikan kenangan.

Bangunan yang penuh dengan ciri-ciri futuristik dan bentuk geometri mengagumkan itu direka oleh arkitek Denmark, Jorn Utzon. Ia disiapkan pada 1973 dengan kos AS$70 juta dan dianggap satu daripada karya bangunan teragung pada kurun ke 20. Ia pernah memenangi anugerah seni bina paling berprestij iaitu Hadiah Pritzker.

Opera House terletak dalam kawasan Sydney Harbour di Cicular Quay tidak jauh dari satu lagi struktur tarikan utama pelancongan Sydney iaitu Harbour Bridge. Di sepanjang laluan, pelancong boleh bersantai di restoran yang banyak terdapat di kawasan itu.

Harbour Bridge

Mendapat gelaran The Coat Hanger, jambatan besi setinggi bangunan 50 tingkat ini merupakan salah satu daripada seni bina terhebat di Australia selepas Opera House.

Jambatan berbentuk gerbang yang kelima terpanjang di dunia itu menempatkan landasan kereta api, jalan raya lapan lorong dan laluan jalan kaki yang tergantung pada ketinggian 134 meter dari permukaan air.

Ia yang disiapkan pada 1932 merupakan struktur paling tinggi di Sydney sehingga 1967. Namun pengalaman di Harbour Bridge bukan sekadar untuk dilihat atau dipandu lalu. Pengunjung boleh mencuba pendakian Discovery ke puncak jambatan untuk menyaksikan keindahan panorama bandar Sydney.

Selain itu, sebuah muzium yang menceritakan sejarah dan kehebatan kejuruteraan jambatan itu boleh dikunjungi di Pylon Lookout.

Menara Sydney dan Skywalk

Berdiri pada ketinggian 260 meter dari paras laut adalah menara tertinggi di Australia yang dibuka pada Oktober 2005.

Dengan memakai abah-abah, pelawat boleh berjalan di atas dek pemerhatian kaca yang mengunjur untuk mendapatkan pandangan 'mata burung' di bawah tapak kaki. Cabaran ini bagaimanapun tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat.

Dari atas menara, pelawat boleh melihat mengelilingi sudut 360 darjah. Dari situ, pelawat boleh melihat Stadium Olimpik Sydney, Muzium Maritim dan ikon-ikon lain.

Sydney Harbour

Malam atau siang, pengalaman di salah satu daripada pelabuhan tercantik di dunia itu sering digambarkan sebagai sesuatu yang ajaib sepanjang percutian di Sydney.

Pelancong boleh mencuba feri persiaran atau menyaksikan matahari terbenam dari atas kapal layar di sekitar Sydney Harbour. Bagi yang inginkan lebih cabaran di perairan itu, mencuba pecutan bot laju juga menjanjikan pengalaman yang hebat.

Membeli-belah

Melancong ke mana-mana tidak lengkap tanpa peluang membeli-belah. Di Sydney, pelancong yang gemar berbelanja tiba di destinasi yang tepat dengan pilihan barangan fesyen terkini, produk terbaru, kraftangan dan cenderahati.

Barisan kedai butik di bandar Sydney, Paddington, Surry Hills, Bondi dan Newtown misalnya antara syurga membeli-belah kegemaran ramai. Bagi yang menggemari barangan dari pasar minggu, Paddy's Market berlangsung sepanjang Rabu hingga Ahad dan Rocks Market (Sabtu dan Ahad).

Tarikan luar kota

Di pinggir kota Siydney terdapat tarikan lain seperti Blue Mountains dan Port Stephens.

Blue Mountain yang terletak hanya satu setengah jam perjalanan dari Sydney merupakan taman negara yang tersenarai sebagai warisan dunia.

Di sini para pengunjung disajikan dengan keindahan flora dan fauna melalui pengalaman menaiki kereta api khas atau kereta kabel yang dikenali sebagai Scenic Skyway.

Satu lagi tarikan di pinggir kota Sydney ialah Port Stephens yang merupakan syurga untuk ikan lumba. Di sini pelancong boleh melihat lebih 160 ikan lumba-lumba dari spesies bottle-nosed.

Pantai di Port Stephen yang terkenal sebagai kawasan berpasir terbesar di hemisfera selatan itu juga boleh diterokai dengan kenderaan pacuan empat roda quad bike .

Di sini pelacong akan dapat merasai tunggangan lasak merentasi bukit-bukit pasir yang digelar Sand Tobogganing.

Bagi maklumat lanjut mengenai tarikan istimewa yang terdapat di sydney boleh layari www.australia.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment