Saturday, May 14, 2011

Resipi Cina bekas chef Tunku


Chef sifu, Mohd. Sultan Abdullah yang pernah menjadi tukang masak kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menunjukkan kepakarannya memasak di Restoran Sifu Al Ifra, Rahang di Seremban baru-baru ini.


MUNGKIN ramai antara pengunjung Restoran Sifu Al Ifra di Rahang, Seremban tidak mengetahui bahawa hidangan yang disediakan di restoran masakan Cina Muslim itu dimasak oleh seorang yang bukan calang-calang orangnya.

Ini kerana pengusaha yang juga ketua chef di restoran berkenaan, Mohd. Sultan Abdullah, 69, pernah menjadi salah seorang tukang masak kepada bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj suatu ketika dahulu.

Resipi setiap makanan yang disajikan di restoran tersebut pernah menjadi santapan kegemaran Bapa Kemerdekaan negara yang sememangnya dikenali menggemari masakan ala Cina.

Aneka juadah Cina Muslim boleh didapati di restoran itu. Antara yang popular adalah ikan stim ginseng, ayam kampung stim halia, ayam gajus keladi serta kepak ayam tanpa tulang berisi sotong.

Menurut Mohd. Sultan, dia menggunakan resipi tersendiri selain bahan asli dalam setiap hidangan.

"Sebagai contoh, masakan tomyam tidak menggunakan sebarang rempah dari luar seperti Thailand atau kiub sedia ada di pasaran. Sebaliknya saya menggunakan rencah tersendiri untuk menyediakannya.

"Saya juga tidak guna perisa atau pewarna tambahan," katanya ketika ditemui S2 di sini baru-baru ini.

Menceritakan saat berkhidmat dengan Tunku, Mohd. Sultan memberitahu, masakan paling digemari Perdana Menteri pertama itu adalah ikan stim ginseng.

"Dalam seminggu, hampir tiga kali saya masak jamuan malam termasuk sajian untuk tetamu dan delegasi luar negara yang berkunjung ke kediaman mahupun pejabat Tunku.

"Saya masih ingat, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud adalah antara yang pernah menjamah masakan saya ketika beliau menjadi Yang Dipertua Perkim suatu ketika dahulu," jelasnya yang mula berkhidmat dengan Tunku pada 1976.

Tambah Mohd. Sultan, restorannya sering menerima tempahan untuk menganjurkan pelbagai jenis sambutan dan majlis keraian.

"Kita terima banyak tempahan untuk majlis perpisahan dan hari lahir membabitkan jabatan kerajaan, sekolah, koperasi dan agensi swasta.

"Kita juga menawarkan pelbagai set bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah hidangan berkumpulan seperti set keluarga dan set VIP pada kadar berpatutan," ujar Mohd. Sultan yang turut dibantu dua tukang masak mualaf.

Dengan memesan set VIP berharga RM268 misalnya, ia mengandungi ikan, ayam (lemon/mangga), udang (gam heong/mentega basah), tauhu shark fin atau sirip yu, sayur campur, kupang lada hitam, tomyam, semangkuk nasi putih, teko besar teh China dan pencuci mulut.

Set keluarga berharga RM198 pula mengandungi ikan, ayam (lemon/mangga), udang (gam heong/mentega basah), tauhu sirip yu, sayur campur, tomyam, nasi putih dan teko besar teh China.

Manakala set A berharga RM58 mengandungi ikan, tauhu sirip yu, sayur campur dan nasi putih.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan dan mengetahui menu yang ditawarkan boleh menghubungi talian 013-6680814 atau melayari akaun Sifu Al-Ifra di laman sosial Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: