Sunday, May 1, 2011

Hormati maruah saya - Shahir


Shahir


KALAU sekadar mahu mengusik, saya tak kisah. Tapi janganlah keterlaluan sangat, saya pun ada maruah. Saya tak suka bila kena fitnah,” reaksi awal Shahir mengulas tentang pertemuannya dengan jelitawan itu sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan ini dikatakan berjumpa dengan Rozita di Genting Highlands, Pahang sekitar pukul 3 pagi. Pertemuan berlaku usai menghadiri acara majlis anugerah, awal bulan lalu.

Kesannya, dia berdepan dengan persoalan demi persoalan. Tambahan pula sebelum ini banyak cerita kurang manis melibatkan figura awam pernah dicatatkan di kawasan hotel.

‘‘Ahli keluarga saya termasuk nenek terkejut bila dapat tahu tentang pertemuan tersebut. Berulang kali mereka bertanya tentang kebenaran cerita itu. Sedihnya, ada juga pihak yang mula percaya.

‘‘Memang tak ada pun pertemuan antara kami. Saya ke lobi hotel untuk bertemu kelab peminat lain. Cuma kebetulan Rozita ada di situ bersama penerbit yang juga saya kenal. Jadi kami berjalan seiringan.

‘‘Di sinilah terletak salah faham. Saya bukan berduaan dengannya tapi beramai-ramai. Saya ada bukti bergambar. Bersama dengan peminat saya sebelum pulang ke bilik kira-kira pukul 6.30 pagi,’’ hujah Shahir.

Juara rancangan Akademi Fantasia Kelapan ini juga kesal apabila masih ada pihak beria-ia mengesahkan kewujudan hubungan cintanya dengan Rozita.

Gambaran diberikan seolah-olah memang pasti hubungan cinta itu. Meski pun berulang kali mengatakan bahawa sekadar hubungan sesama rakan artis.

Apabila ada khabar mengatakan Rozita mendesak penerbit untuk menggandingkan dirinya dengan Shahir dalam telefilem berjudul Summer Camp. Bakal menjalani penggambaran di Ladang Tebu, Perlis pada awal Mei ini, Shahir mengatakan dia tak menahu berhubung perkara itu.

Apatah lagi ia merupakan gandingan kali pertama Rozita dengan Shahir. Mahu dilihat ada keserasian sewaktu melakonkan watak cikgu.

‘‘Kisah cinta antara saya dengan Rozita ada macam-macam versi. Hakikatnya saya cuma bersahabat baik dengan dia. Saya juga tak kisah dengan gosip antara saya dengan Rozita. Tapi tolonglah, jangan sampai menjatuhkan maruah saya,’’ kesalnya.

Pada masa yang sama, Shahir turut menyatakan pandangan peribadinya terhadap Rozita. Bagi Shahir, wanita yang dikaitkan dengannya itu secara luaran sangat moden. Namun, dalamannya penuh ciri-ciri ketimuran.

Tambahan pula dengan status ibu tunggal dibawa Rozita, menambahkan rasa kagum. Ketabahan membesarkan anak dan bekerja sebagai anak seni.

Pertaruhan pertama

Menyentuh tentang filem pertama lakonannya Karak, nada lelaki berusia 23 tahun ini bertukar ceria. Katanya, itu adalah pengalaman pertama bekerja dengan Yusry KRU yang bertindak sebagai pengarah di layar lebar.

Melakonkan watak Nik, seorang lelaki yang tabah dan taksub dengan perkara mistik. Kegemarannya mengkaji paranormal dan berkongsi hasil pertemuan dengan kawan-kawan. Minat itu kemudian bertukar kepada mimpi buruk sehingga menakutkan kekasihnya Zura (lakonan Shera Aiyob).

‘‘Bayangkan, saya yang ‘kayu’ ini kena berlakon dengan wanita. Bertambahlah ‘kayu’. Tapi saya cuba atasi rasa gemuruh saya itu.

‘‘Disebabkan terlalu penat juga saya tertidur semasa kamera sedang rakam. Sedar-sedar saya dengan suara abang Yusry surah saya berlakon,’’ katanya yang selesai menjalani pengambaran filem seram sekitar Julai tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: