Sunday, May 1, 2011

Zamani semakin parah


Zamani


SELEPAS Jamal Abdillah dan Salem, Zamani adalah artis lelaki yang mempunyai keunikan vokal tersendiri. Bagaimanapun sebut tentang Zamani macam-macam aduan yang Syed dengar setahun dua kebelakangan ini.

Baru-baru ini timbul cerita kononnya Zamani sudah meninggal, tetapi ia hanya cerita tak berasas. Kes terbaru Syed dengar Zamani telah mungkir janji dengan sengaja untuk merakamkan semula lagu Gerimis Mengundang di Jakarta baru-baru ini.

Sepatutnya Zamani menyanyikan semula lagu popular itu dengan artis popular seberang, Harvey Malaiholo, tetapi tak jadi tanpa sebarang penjelasan.

Walaupun Zamani sudah menyatakan persetujuan untuk merakamkan semula lagu berkenaan dengan pihak Erama Records, dia tak muncul-muncul di lapangan terbang pada hari dia sepatutnya berlepas ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama.

Zamani terus hilang, lesap tanpa sebarang khabar. Pengurus dia, Johan Aziz pun tak dapat hendak kesan ke mana artis itu berada pada hari berkenaan.

Makanya Syed difahamkan, sebab masalah dalaman Zamani telah menyusahkan banyak pihak. Tidak mahu terus menanti, Erama Records buat keputusan ambil penyanyi lain, dan pilihan mereka ialah Dayang Nurfaizah.

Bagi Syed, Zamani memang tolak tuah besar. Peluang sudah datang depan mata, disia-siakan begitu saja. Ditolak macam sampah sarap saja.

Bagaimanapun Penerbit Eksekutif Erama Records, Datuk Affendi Hamdan menganggap itu semua bukan satu masalah besar kepadanya.

“Zamani menolak peluang itu tanpa sepatah kata, kami mendapat pengganti yang hebat juga. Gandingan Dayang dan Harvey sangat hebat dan Gerimis Mengundang akan jadi lagu baru yang digilai ramai seperti suatu masa dahulu,” kata Affandi tentang lagu asal ciptaan Saari Amri itu.

Malah kata Affandi, dia memahami masalah yang dihadapi Zamani dan tidak teragak-agak untuk bekerjasama di masa depan, kalau masih ada rezeki.

Nasib baiklah ada yang memahami, kalau tidak mungkin kes Zamani sudah dibawa ke mahkamah.

Setahu Syed sebelum ini dia ni artis yang mudah beri kerjasama, berbakat besar dan diminati ramai. Tahun lepas pun dia ada juga muncul dalam Konsert Pancaindera dan memang peminat dia cukup ramai, kalah artis lain.

Persoalannya sekarang, kenapa sanggup ‘menghancurkan’ kerjaya dan diri sendiri sampai macam tu sekali? Sampai bila Zamani hendak hidup dalam keadaan ‘tidak keruan’ dan abaikan kerjaya dan diri sendiri? Semoga cepat sedar sebelum terlambat.

Syed: Hidup Zamani selalu dilanda gerimis. Sungguh kasihan!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: