|
|
LOS ANGELES 17 Mei - Filem pertama arahan Angelina Jolie, filem yang penuh kontroversi berlatar belakangkan masa peperangan di Bosnia kini telah mempunyai tajuk dan tarikh tayangan.
In the Land of Blood and Honey akan disiarkan di Amerika Syarikat (AS) pada 23 Disember ini. tepat pada masa untuk dicalonkan bagi anugerah Oscar.
"Filem ini khusus dibuat pada zaman peperangan di Bosnia tetapi ia juga bersifat sejagat.
"Saya mahu menceritakan tentang bagaimana hubungan antara manusia dan perangai seseorang meninggalkan kesan ketika waktu peperangan," ujar Jolie.
Jolie yang turut menulis skrip filem itu pada tahun lalu menggambarkan filem itu yang belum diberi tajuk ketika itu sebagai sebuah kisah percintaan antara seorang lelaki Serbia dan seorang wanita Bosnia ketika konflik di Balkan dari 1992 hingga 1995 di mana lebih 100,000 orang terkorban.
Filem itu mencetus kontroversi di Bosnia apabila ada beberapa mangsa keganasan seksual menentang butiran dalam plot filem itu dan pihak berkuasa Bosnia membatalkan permit filem tersebut.
Beberapa adegan yang sepatutnya dirakamkan di Sarajevo terpaksa ditukar lokasinya di Budapest, hungary.
Jolie yang pernah memenangi anugerah Oscar pelakon pembantu terbaik bagi filem Girl Interrupted memohon rakyat Bosnia tidak menghakimi filemnya selagi mereka tidak menyaksikan sepenuhnya filem itu.
In the Land of Blood and Honey dibintangi pelakon tempatan dan menggunakan bahasa Inggeris dan Serbo-Croat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: