|
|
PADA 22 April lalu, saluran stesen percuma TV9 genap berusia lima tahun. Jika TV9 diumpamakan sebagai seorang manusia, budak seusia itu sudah memasuki sekolah tadika.
Dalam usia itu, dirasakan sudah tiba masanya stesen TV di bawah seliaan Kumpulan Media Prima Berhad itu melangkah untuk menjadi lebih dewasa.
Sekali gus, membuat beberapa penambahbaikan dan dalam masa yang sama, cuba lari daripada stigma TV9 adalah saluran TV ulang tayang drama-drama yang telah disiarkan oleh TV3.
Biarpun TV3 dan TV9 dipandang sebagai adik beradik namun TV9 perlu ada identiti sendiri supaya rating penonton sebanyak tujuh juta dapat melonjak lebih tinggi lagi.
Tidak dinafikan TV9 mempunyai kekuatan menerusi slot Raudhah yang diisi dengan program berbentuk keagamaan.
Tanyalah Ustaz yang disiarkan setiap hari, pukul 7 pagi selama sejam adalah program keagamaan yang cukup menarik kerana kupasan topik, cukup berilmiah dan pendekatan ustaz dalam penyampaiannya juga tidak membosankan.
Menerusi slot yang sama, selama setengah jam sahaja, program Adik dan Al-Quran dihoskan oleh Ustaz Datuk Hassan Din yang disiarkan setiap hari bermula pada pukul 8.30 pagi menjadi ikutan penonton kanak-kanak dan ibu bapa.
Halaqah yang ke udara pada setiap hari Selasa, 10 malam dan diulang pada setiap hari Isnin, pukul 9 pagi sehingga 10 pagi, sajian forum yang diisi dengan perbincangan lebih serius tentang topik berkaitan dengan Islam.
Itulah yang dilakukan selama lima tahun kebelakangan ini dan selepas menginjak usia ke angka lima, wajarlah TV9 memandang lebih jauh jika mahu terus bersaing sebagai salah sebuah stesen TV pilihan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, Pengarah Urusannya, Sherina Mohamed Nordin bertemu rakan-rakan wartawan hiburan bagi membicarakan tentang perancangan TV9.
"Rating TV9 8.9 peratus dan kita cuba untuk mendekati pula golongan sasar iaitu remaja Melayu berusia 15 hingga 29 tahun kerana jurang penonton dewasa dan remaja di saluran ini agak ketara.
"Bagi merapatkan jurang itu, kita tampil dengan tiga program yang dirasakan mampu menarik golongan itu untuk mendekatkan diri dengan TV9," katanya.
Sebagai permulaan, kata Sherina, TV9 menganjurkan Ekspresi Remaja di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor dengan hala tuju, membuka ruang kepada remaja menonjolkan diri dan kreativiti mereka menerusi muzik.
Selain itu, Jumaat ini (20 Mei), TV9 akan anjurkan satu konsert istimewa atau sesi jamming di Pavillion, Kuala Lumpur.
"Di konsert itu nanti, Aizat Amdan dan Noh Hujan terbabit sama berinteraktif dengan peminat kerana kedua-dua artis ini adalah ikon di kalangan golongan remaja masa kini," katanya yang mengakui, respons penonton Skrin Di 9 amat memberangsangkan .
Ujar Sherina lagi, pada 9 dan 10 Julai nanti, TV9 akan menganjurkan sebuah konsert Gig yang mana, pertandingan antara kumpulan-kumpulan indie akan diadakan.
"Penyertaan terdiri daripada remaja yang kreatif, berbakat dan berpengalaman dalam bidang muzik.
"Pada 9 Julai, sebanyak lapan kumpulan indie akan bertanding bagi merebut tempat untuk meneruskan persembahan pada 10 Julai.
"Saya yakin pertandingan itu hebat dan TV9 adalah platform untuk remaja yang cenderung dalam bidang muzik, menjadi seperti Aizat dan Noh Hujan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: