Wednesday, May 25, 2011

Estranged kembali !

Kehadiran mereka dalam industri hiburan ibarat biskut. Sekejap ada, sekejap tiada.

Sekadar mengimbau kembali, kumpulan yang menggelar diri sebagai Estranged ini mencipta nama melalui album In Hating Memory pada 2005. Meletup dengan lagu Itu Kamu, Estranged kemudian menyepi seketika.

Empat tahun seterusnya menyaksikan Estranged kembali dengan buah tangan kedua berjudul Remain Unknown. Rangkaian lagu seperti Yang Pernah dan Aurora menaikkan semula nama mereka sebagai sebuah band yang punya muzik tersendiri.

Entah di mana silapnya, kisah mereka kembali berkurangan di dada akhbar mahupun kaca televisyen.

Kini Estranged yang dianggotai Richael L Gimbang (Rich/vokalis), Azwin Andy (Andy/dram), Solihuddin Hormatov (Din/gitar) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi/gitar) muncul dengan ‘single’ baru berjudul Pengganti.

Bukan mahu menidakkan sebarang publisiti, tetapi menurut Rich, ‘kehilangan’ mereka selama ini sekadar mahu berehat seketika sebelum kembali sibuk dengan dunia seni.



Ahli punya komitmen lain

“Setiap ahli mempunyai komitmen masing-masing dan kami mahu menyelesaikan dahulu agenda tersebut seperti keluarga, perniagaan dan sebagainya.

“Misalnya, saya sendiri perlu meluangkan masa bersama isteri dan anak di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya yang berkahwin dengan Velvet Lawrence Aduk dan mempunyai anak lelaki, Joshua.

Namun, masa yang ada tidak disia-siakan kerana setiap ahli tetap mengadakan pertemuan untuk membincangkan hal kumpulan.

“Kami menyedari bahawa peminat yang banyak menyokong selama ini sentiasa mendambakan yang terbaik dari Estranged.

“Maka, kami banyak berbincang dan mengumpul material baru agar kemunculan semula kami menunjukkan kematangan berbanding sebelumnya,” kata Rich.



Taruh single ‘Pengganti’

Masih memperjuangkan genre alternatif moden rock, Rich berkata, sebagai permulaan lagu Pengganti dipertaruhkan sebagai ‘single’ pertama.

Sudah pun berkumandang di corong radio dan mendaki carta lagu, Pengganti disifatkan sebagai sebuah karya yang istimewa.

“Lagu yang mengisahkan perjalanan seorang individu dalam dua alam yang berlainan ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

“Selain itu, lagu ini dirakamkan di tiga studio berlainan bagi memastikan setiap ahli mendapat keselesaan dan berpuas hati dengan hasil rakaman,” katanya.

Menguatkan lagi pengaruh Pengganti, klip videonya sudah mula disiarkan dalam laman web kumpulan itu sejak April lalu.

Tidak mahu tergesa-gesa, album penuh terbaru Estranged akan tetap menyusul setelah kumpulan ini merancang untuk mengeluarkan empat ‘single’ terlebih dahulu.

Buat peminat setia, harapan tinggi disandarkan Estranged agar karya terbaru mereka dapat diterima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: