Wednesday, May 18, 2011

Ciptaan Zery lebih berani


Rekaan Zery menjadi rebutan para selebriti.


SETELAH hampir 10 tahun melibatkan diri di dalam bidang rekaan fesyen, Zery Zamry, 27, semakin berani menghasilkan rekaan-rekaan yang pastinya 'memukau' sesiapa sahaja yang memandangnya.

Bijak menilai aliran fesyen semasa, pereka muda ini sememangnya kreatif agar segala rekaan yang dihasilkan cantik dan menawan untuk digayakan.

Zery mula serius dalam bidang peragaan apabila beliau mula meminati dunia hiburan.

Daripada situ, lepasan Ijazah Sarjana Muda Senireka Fesyen, UiTM Shah Alam itu mula mendalami dunia fesyen dengan mengambil tahu jenis-jenis fabrik, bagaimana untuk memotong kain dan mengenali warna-warna yang menarik untuk dijadikan pakaian.

''Penglibatan diri dalam bidang fesyen sememangnya timbul daripada minat dan di awalnya saya hanya meminati artis-artis hiburan terutamanya Ziana Zain.

''Kemudian saya mendalami rekaan-rekaan yang dipakai artis-artis tersebut dan seterusnya terus jatuh cinta dengan seni reka fesyen.

''Dalam erti kata lain saya suka tengok baju yang dipakai oleh artis-artis,'' ujar anak bongsu daripada empat adik beradik itu.

Tambahnya lagi, minat itu secara tidak langsung sedikit demi sedikit menjadikannya seorang yang pandai memilih fabrik serta pandai mengenai potongan busana.

Hari ini, minat itu telah berjaya melonjakkan namanya di persada fesyen tanah air.

Malah Zery Zamry merupakan satu jenama yang tidak asing lagi bagi peminat-peminat fesyen tanah air.

Memandangkan fesyen merupakan nadi kehidupan dan rezekinya, Zery sentiasa mahukan gaya ataupun identiti tersendiri dalam setiap rekaannya.

Beliau tidak menafikan bahawa bahan rujukan dari luar negara dan Internet sentiasa menjadi perhatian dan panduannya untuk mendapatkan ilham baru.

Mengulas lanjut mengenai bidangnya itu, setiap rekaan atau koleksi yang dihasilkan lebih kepada konsep moden dan urban.

Ini kerana jelasnya lagi, konsep tersebut lebih dramatik dan pada masa sama mencetus gaya elegan.

''Saya suka menggunakan unsur-unsur tradisi supaya rekaan yang dihasilkan lebih berevolusi kepada sesuatu yang praktikal dalam masa yang sama mempunyai nilai estetika yang tinggi.

''Saya juga suka menerapkan unsur-unsur glamor dalam rekaan sama ada menggunakan perincian manik, labuci dan kristal yang berkilauan atau sulam tampal yang memberi kesan 3D dan sebagainya,'' ujar anak jati Selangor itu lagi.

Bagi anak teruna yang meminati warna hitam dan merah jambu itu, dalam setiap rekaan yang dihasilkannya, tidak hanya terhad kepada satu atau dua jenis warna sahaja.

Zery sebenarnya suka bermain dengan pelbagai warna yang mengikut peredaran musim.

Sebagai contoh jika musim bunga dayu panas, Zery akan menampilkan rekaan yang lebih bold dengan warna-warna terang seperti merah jambu terang, ungu, biru firus dan sebagainya.

Jika dilihat daripada segi pemilihan fabrik pula Zery gemar fabrik yang lembut seperti sutera satin, sutera , sutera krep, tafeta dan sutera Thai.

''Fabrik-fabrik sutera ini amat lembut dan ia akan jatuh mengikut bentuk tubuh seseorang itu dengan cantik.

"Manakala bagi rekaan yang lebih bersifat edgy, saya gemarkan fabrik sutera thai dan tafeta kerana ia senang untuk dibentuk dan mempunyai ton-ton warna yang jarang didapati daripada fabrik lain.

''Itu untuk fabrik manakala untuk renda pula saya gemar renda Perancis,'' katanya.

Tetapi berlainan pula dengan rekaan baju pengantin di mana Zery lebih gemarkan warna-warna lembut dan pastel dan tidak ketinggalan bermain dua atau tiga tona yang berlainan di atas sehelai baju.

Warna-warna tersebut akan menampakkan rekaan lebih mewah dan elegan di samping dapat menimbulkan mood sesetengah pakaian dan si pemakainya.

Setakat ini antara selebriti yang pernah menggayakan rekaan Zery ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ella, Elyana, Natasha Hudson, Dynas dan ramai lagi.

Menjadikan pereka-pereka Arab seperti Ellie Saab dan Basil Soda sebagai idola, Zery kini semakin ligat di dalam dunia fesyen di mana yang terbaru dia baru sahaja membuka butiknya yang kedua.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan Zery, mereka boleh menghubunginya di talian 017-6519056.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: