|
|
APA yang diperlukan hanya sepasang kasut kanvas kosong, sebatang pen dan sedikit kreativiti. Gambarannya mungkin mudah namun realitinya kerja-kerja seni memang menuntut ketekunan dan kesabaran di samping minat yang menebal.
Rasdiana Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Diana, mula mengusahakan kasut lukisan tangan hanya pada sekitar November tahun lalu dengan menggunakan jenama Matahari Diana.
Buat masa ini pemasaran dilakukan sepenuhnya melalui Internet sama ada capaian menerusi Facebook - Diana Matahai Handpainted atau www.mataharihps.blogspot.com .
Menurut wanita muda ini, bakat melukis diasah sejak dari sekolah lagi dengan pelbagai medium digunakan sebagai kanvas untuk dia meluahkan apa yang tersirat.
"Saya pernah melukis batik di kain dan wayang kulit di atas kulit kambing. Sebahagian hasil seni saya ini pernah dipamerkan di Balai Seni Lukis Alor Setar, Kedah.
"Sebelum ini juga saya banyak melukis di atas mug, beg kanvas, seluar denim dan sebagainya," jelasnya yang juga melakukan kerja-kerja reka letak (graphic designer) untuk pengiklanan dalam majalah dan akhbar.
Pendek kata apa juga tawaran kerja yang mendatangkan pendapatan dan memerlukan kemahirannya diterima waima mereka cipta bungkusan untuk kotak kosmetik pelbagai jenama di Malaysia.
Diana mendapat idea melukis pada kasut apabila mendapati medium tersebut unik selain cantik untuk dipakai juga sebagai hadiah.
"Sebelum ini saya melukis di atas botol kaca, juga kayu. Pada mulanya saya ingin menghasilkan tempat kunci di mana terdapat lukisan di atasnya tetapi kesukaran dan kesuntukan masa sebab terpaksa membuat kotak kunci tersebut dahulu sebelum mula melukis membuatkan saya berfikir sesuatu yang tidak melibatkan pihak lain, jadi saya saya memilih kasut," katanya.
Setakat ini beliau mengusahakannya secara sendirian kerana menganggap setiap lukisan itu adalah hasil kerja seni yang ikhlas dan memiliki sentuhan peribadi.
Mengenai teknik yang digunakan, menurut Diana, sepenuhnya dilakukan dengan tangan membuatkan setiap kasut adalah eksklusif.
Biasanya dia melukis motif-motif yang disukai orang ramai seperti karakter-karakter kartun popular, grafik, abstrak dan sebagainya.
Namun ada juga rekaan yang mengikut permintaan dan idea pelanggan
"Biasanya pelanggan hanya perlu menyatakan motif atau corak yang diingini serta warna dan jenis kasut.
"Bagi pelanggan lelaki mereka lebih memilih motif-motif masa kini yang menggambarkan maskulin seperti motif tengkorak, pistol, gitar, dan sebagainya," katanya.
Apa yang pasti setiap pelanggan boleh berbangga dengan nilai eksklusif yang diperoleh kerana Diana hanya menghasil satu corak untuk satu kasut.
Diana mengakui semua orang boleh menghasilkan kasut lukisan tangan jika mempunyai peralatan yang betul seperti berus lukisan, pen dan pensil untuk melakar, serta warna kekal yang tidak luntur.
"Tidak ada peralatan istimewa, segala-galanya bergantung kepada kreativiti dan nilai seni tangan sendiri.
"Biasanya sepasang kasut mengambil masa dalam sehari untuk dilukis dan sehari lagi untuk warnanya sebati. Namun jika corak yang senang saya boleh menyiapkan tiga pasang kasut dalam sehari," kata pemegang Diploma Perbankan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Mengenai pelanggan yang menempah kerja tangannya, Diana berkata ia tiada batas usia daripada remaja hinggalah kepada golongan ibu bapa.
Harga bagi sepasang kasut bermula serendah RM45 hinggalah kepada RM130 bergantung pada jenama kasut dan corak yang diminta.
Beliau turut menghasilkan koleksi edisi terhad seperti yang bertatahkan batu kristal swarzoski atau menggunakan warna-warna luminious yang bercahaya dalam gelap.
Biarpun melakukannya sekadar sambilan demi memenuhi minat dalam seni lukis, Diana tetap berbangga dengan apa yang dicapai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: