Wednesday, May 18, 2011

CShot satukan peminat figurin


Permainan seperti ini ada yang bernilai hampir RM1,000.


Bagi individu biasa mungkin sukar memahami bagaimana lelaki dewasa bukan setakat minat malah sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengumpul mainan yang lazimnya menjadi kegilaan kanak-kanak.

Walaupun kedengaran pelik namun bagi sekumpulan anak muda ini minat mengumpul model-model watak hero aksi terkenal atau action figure mengatasi segala-galanya.

Malah mereka menganggap hobi itu mampu memberikan kepuasan tersendiri.

Bukan setakat mengumpul pelbagai jenis model watak-watak tersebut bersama permainannya, golongan ini turut mempunyai kumpulan mereka tersendiri bagi berkongsi koleksi dan pengalaman yang dikenali sebagai Collectors Hangout (CShot).

Kelebihan yang terdapat pada kumpulan ini ialah setiap permainan atau dikenali sebagai figurin yang dikumpul merupakan model yang sukar diperolehi di pasaran.

Antara aktiviti ahli komuniti CShot ialah berkumpul di hujung minggu di Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor atau pusat-pusat pilihan mengikut negeri.

CShot ditubuhkan pada pertengahan 2009 melalui laman web sosial Facebook dan semakin dikenali terutamanya yang tinggal di sekitar Petaling Jaya.

Malah komuniti ini juga berjaya menarik penyertaan lebih daripada 500 orang ahli dari seluruh negara dan semakin popular sehingga dikenali di kalangan pengumpul figurin yang lain.

Salah seorang ahli CShot, Muhammad Tajol Hairi, 34, berkata, kesemua ahli komuniti CShot berkongsi hobi yang sama dan ia memudahkan mereka untuk mengenali antara satu sama lain.

"Kami bermula dari Facebook dan pada asalnya hanya untuk membentuk sebuah komuniti peminat figurin bagi bertukar-tukar pendapat.

"Tetapi kini kami bagaikan sebuah keluarga yang mempunyai hobi yang sama," katanya.

Menurut Tajol, hobi mengumpul figurin itu bermula sejak kecil dan kini koleksi yang dimilikinya melebihi 3,000 unit pelbagai jenis figurin.

Beliau berkata, walaupun zaman ini boleh dikatakan sebagai era dunia digital, beliau masih berbangga untuk mengumpulkan figurin-figurin tersebut.

"Kebanyakan kanak-kanak kini lebih menyukai permainan video yang lebih moden, tetapi pada pendapat saya mainan figurin lebih memberikan kepuasan berbanding permainan video.

"Malah keunikan figurin selalu menjadi perhatian lebih-lebih lagi jika ia disusun lengkap dengan model landskap dan siap di cat dengan warna kesan khas yang lebih menonjolkan keistimewaan model tersebut.

"Selain itu, keseronokan yang timbul apabila kita memperoleh koleksi figurin yang sukar didapati dalam pasaran juga membuatkan saya teruja apabila berjaya memperolehinya," katanya.

Tajol berkata, sepanjang bergiat aktif dengan hobi mengumpul figurin, beliau dapat rasakan bidang itu mampu membuatkan seseorang pengumpul lebih kreatif selain boleh menjana pendapatan sampingan.

"Selain dapat meningkatkan kemahiran seni ketika mengecat figurin tersebut, kami juga boleh melakukan aktiviti jual beli secara kecil-kecilan.

"Bagaimanapun, bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi selain minat yang mendalam untuk mendapatkan model yang terhad di pasaran. Ia bukan semudah membeli sehelai baju," ujarnya.

Setiap koleksi figurin yang dibeli Tajol berbeza-beza mengikut jenis jenama permainan tersebut.

"Sebagai contoh, figurin yang saya beli ada diantaranya berharga dari RM10 hingga ke RM3,000.

"Lebih mahal figurin yang dibeli oleh pengumpul bermakna ia lebih berharga terutamanya buat koleksi bersalut emas yang sukar diperolehi," jelasnya.

Tambahnya, bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik, penggunaan cat airbrush boleh memberikan kesan yang lebih mengagumkan kepada model mainan tersebut berbanding warna asal.

"Kebiasaannya penggunaan cat airbrush tidak asing lagi di kalangan peminat figurin bergantung kepada kreativiti untuk menghasilkan kesan khas seolah-olah kelihatan seperti robot sebenar.

"Walaupun ia sukar dilakukan dan memerlukan ketekunan dan kesabaran untuk menghasilkan kesan tersebut, ia masih digilai dikalangan kami," katanya.

Jelas Tajol lagi, CShot kini mempelawa semua pengumpul figurin untuk menyertai komuniti tersebut melalui laman web www.c-shots.com/forum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: