TIDAK DIKEHENDAKI...Cheryl bersama Cowell ketika program X Factor versi Britain.
NICOLE SCHERZINGER...dijangka gantikan Cheryl.
LOS ANGELES: Janda pemain pertahanan Chelsea, Cheryl Cole, dilaporkan terkejut dan hilang kata-kata selepas dia diketepikan secara mengejut daripada siri realiti televisyen X Factor Amerika Syarikat.
Penyanyi berusia 27 tahun itu dilaporkan meletakkan kesalahan kepada orang kuat program berkenaan, Simon Cowell.
Menurut sumber, Cheryl mengaku dia tidak pernah menyangka diketepikan sebegitu.
Bagaimanapun, sumber daripada pihak Cowell pula berkata, keputusan berkenaan dimaklumkan kepada Cheryl tiga hari sebelumnya atas alasan dia kurang sesuai menjadi juri di AS.
Media melaporkan, Cheryl lebih kecewa apabila Cowell mengelak memberitahu berita itu secara berdepan.
Sumber berkata, Cheryl tidak teragak-agak menuding jarinya kepada Cowell atas penyingkiran itu.
“Cheryl berpendapat, dia tidak pernah diberi peluang membuktikan kemampuannya, malah dibiarkan begitu saja seperti orang bodoh,” katanya.
Selain malu, kata sumber itu, bekas isteri Ashley Cole itu juga berang kerana menerima satu lagi tamparan hebat dalam kerjayanya.
Selepas berpindah ke AS dengan pelbagai gembar-gembur media, kata sumber, dia kini terpaksa berkemas semula dan pulang ke Britain.
“Cheryl sangat kecewa dan terluka,” katanya.
Sementara itu, Cowell dijangka berdepan kesulitan di mata peminat ekoran penyingkiran Cheryl.
Cowell dijadual pulang ke Britain minggu depan untuk menyertai siaran langsung satu lagi siri realiti televisyen popular di situ, Britain’s Got Talent.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan bagaimana reaksi peminat di Britain terhadap Cowell.
Pada masa sama, pemilik saluran ITV berharap, kemunculan Cowell dapat melonjakkan populariti Britain’s Got Talent selepas ia mengalami kejatuhan paling serius sejak 2007.
Cowell meninggalkan tugasannya sebagai juri American Idol untuk menumpukan perhatian kepada X Factor versi AS.
Selepas pengunduran Cowell, populariti American Idol meningkat 21 peratus pada pertandingan akhir tahun ini berbanding 2010. Di London, seorang daripada juri X Factor asal versi Britain, Louis Walsh, mengalu-alukan penyertaan Cheryl dalam rancangan itu.
“Kami menerima kepulangannya dengan gembira,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: