JINGGA...padanan rona terang bagi yang berani.
SERAKAN rona ceria serta kepelbagaian corak yang menghiasi koleksi Marc by Marc Jacobs bagi musim bunga dan panas kali ini jelas memperlihatkan gaya ikonik label fesyen dari Amerika Syarikat itu.
Marc by Marc Jacobs yang meraikan sambutan ulang tahun ke-10 tahun ini menampilkan jaket stail tentera, cetakan flora penuh variasi dan disulami perincian dengan potongan menarik.
Marc Jacobs - perekanya - cuba menyuntik kembali aura serta semangat keremajaan yang bukan saja tampak segar, tetapi pada masa sama, menyerlahkan ciri-ciri vintaj.
Koleksi kapsul masa ini memberi tumpuan kepada helaian popular sepanjang sedekad kembaranya dalam industri fesyen dunia antaranya gaun sutera, skaf cetakan abstrak, kemeja-T dan himpunan tentera.
Rekaan retrospektif Jacobs bagi musim ini menguasai pentas peragaan antarabangsa menerusi potongan penuh feminin yang menjadi kesinambungan daripada koleksi lalu.
Tidak ketinggalan elemen riang dan meriah menjadi latar koleksinya yang mana warna polos digabungkan bersama helaian atau aksesori pelbagai rona yang jelas sekali sesuai dan selesa digayakan.
Rekaan serta potongan ringkas nyata sesuai digayakan untuk aktiviti santai, malah menarik untuk majlis rasmi apabila dipadankan bersama aksesori yang minimum.
Koleksi bagi sang jejaka pula menyusul dengan kemeja-T grafik, kemeja lengan pendek Oxford, seluar kapas Chino dengan perincian kontras dan gaya tentera klasik pada rekaan jaketnya.
Setiap helaian direka dengan tag edisi terhad dan koleksi kapsul masa Marc by Marc Jacobs ini sudah menjengah pasaran tempatan sejak April lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: