RASMI...Ismail Sabri ( tengah) merasmikan Expo Beli Barangan Malaysia 2011 di PWTC, semalam.
PELBAGAI produk buatan Malaysia mudah didapati di luar negara dengan adanya Pasaraya 1Malaysia (1Malaysia Mall) yang diwujudkan tidak lama lagi bermula di Vietnam dan China.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan secara terperinci mengenai perkara itu diadakan dengan Vietnam dan China pada Julai ini.
Katanya, kementerian kini giat mengumpul nama syarikat dan produk yang berminat menyertai Pasaraya 1Malaysia di luar negara.
“Saya lebih fokus kepada Vietnam dan China. Di Vietnam tanah sudah dikenal pasti cuma kita perlukan perbincangan secara terperinci manakala di China pula, kita sudah berbincang dengan syarikat pemaju di sana.
“Kita menjangkakan projek Pasaraya 1Malaysia dapat dilaksanakan pada 2012. Ia dilaksanakan pihak swasta manakala kerajaan hanya membantu dari segi urusan rasmi membabitkan perbincangan antara kerajaan kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ekspo Beli Barangan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Ismail Sabri, lokasi Pasaraya 1Malaysia di Vietnam sudah dikenal pasti di bandar Ho Chi Minh, bagaimana di China ia belum ditetapkan memandangkan negara itu mempunyai kepadatan penduduk yang ramai di setiap bandarnya.
beliau berkata, beberapa negara seperti India dan Iran sudah menyatakan minat untuk membangunkan pasaraya itu di negara mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: