|
|
SEKALI pandang, mata pasti akan terus terlekat kepadanya. Leeya yang ditemui sewaktu sesi fotografi Citra Wanita, Mingguan Malaysia di Studio Utusan sangat mesra berkata-kata.
Menurutnya, dia baru melibatkan diri sebagai model separuh masa sejak dua tahun lalu. Semuanya berlaku apabila Leeya diperkenalkan oleh rakannya yang juga seorang jurusolek.
Di sebalik penglibatannya dalam bidang yang dianggap glamor itu, tiada siapa mengetahui anak kelahiran Pahang ini mempunyai kerjaya tetap sebagai eksekutif bank di salah sebuah bank di Lembah Klang.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Sharuliah Samsudin, 30, menolak sama sekali tanggapan bahawa menceburi bidang peragaan sekadar mahu mengejar glamor.
Sebaliknya, wanita cantik ini mengakui segala-galanya didorong oleh minat serta keinginan untuk mendalami bidang peragaan yang dirasakan penuh cabaran.
Leeya telah membuktikan cantik dan bijak perlu seiring. Realitinya juga, dia masih mampu memberikan komitmen dalam kerjayanya.
Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Akaun dari Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) membuktikan kesibukannya memenuhi undangan sebagai model tidak pernah membataskannya berjaya dalam kerjaya.
Ternyata Leeya tidak pernah mengecewakan majikannya, bahkan dalam bidang peragaan dia boleh memberi kerjasama yang baik dengan jurugambar.
Gaya gambar sederhana ditunjukkan berbeza dan bersahaja.
Bercerita tentang kerjayanya, Leeya masih mengekalkan imej yang sama dan menjaga personaliti agar senang berkomunikasi dengan orang lain.
Dalam berfesyen, Leeya gemar mengenakan pelbagai gaya dan mengikut kesesuaian keadaan.
"Selalunya, orang ramai mengatakan wanita tidak dapat mencapai kejayaan dalam kerjaya lebih-lebih lagi mereka yang hanya kelihatan tahu bergaya sahaja. Ternyata pendapat tersebut salah, yang penting untuk berjaya, seseorang itu perlu berilmu," katanya yang memiliki ketinggian 165 sentimeter.
Leeya tidak menafikan tugas sebagai eksekutif bank yang disandangnya sejak lima tahun lalu, agak membataskan masa untuk dia memenuhi undangan peragaan.
"Namun, saya akan cuba memenuhinya jika berkesempatan. Sebagai wanita, segalanya perlu seimbang termasuk menguruskan diri sendiri, menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan pada masa terluang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: