Sunday, May 29, 2011

Sahabat karib si merah jambu




TIADA perkara yang paling menyenangkan Tengku Syazariah melainkan pulang ke kamar tidur dan disambut deretan ‘sahabat’ comel yang bernama Hello Kitty.

Bukan dua atau tiga, tapi lebih 500 koleksi karakter yang sinonim dengan warna merah jambu menghuni ‘syurga’ gadis berusia 23 tahun itu.

Menurutnya, ramai menyangka ia mungkin koleksi yang dikumpul sejak kecil. Namun hakikatnya, ia baru bermula lebih dua tahun lalu!

“Semuanya berlaku secara kebetulan bila seorang sahabat menghadiahkan saya cermin kompak berbentuk muka Hello Kitty,” katanya.

Dari situ, gadis yang membahasakan dirinya Syaza mula jatuh cinta dengan sebarang cenderamata yang mempunyai karakter itu dan cuba mendapatkannya sedikit demi sedikit. Lebih menggembirakan, minatnya turut disokong ahli keluarga serta sahabat handai. Antaranya ibu tersayang, Mimi Idris yang turut menghadiahkan kek hari jadi berbentuk wajah Hello Kitty pada ulang tahun ke-22 lalu. Malah ada antara temannya yang kebetulan ke kedai runcit dan terlihat rantai kunci lalu terus membelinya untuk Syaza.

Bercerita mengenai koleksi kesayangan itu, katanya, kebanyakan cenderamata dibeli secara dalam talian kerana ia jauh lebih murah berbanding mendapatkannya di butik khas. Tidak hanya menjadikannya sekadar hobi yang membazirkan duit, dia turut menjual cenderamata karakter tersebut untuk mereka yang berminat.

“Biasanya kalau terjumpa sesuatu barang itu, Syaza akan beli lebih dan jual kepada yang berminat melalui blog,” kata pelajar jurusan Undang-undang di Universiti Sains Pengurusan, Shah Alam, itu.

Daripada anak patung, alat tulis, cadar, selimut, langsir, kipas mini, laci, meja tulis hingga peti sejuk mini, pembakar roti dan telefon bimbit, semuanya mempunyai lambang Hello Kitty. Kata Syaza, setiap koleksi yang dibelinya tidaklah terlalu mahal seperti disangka kecuali laci enam tingkat yang berharga lebih RM500.

Bagi anak sulung empat beradik ini, setiap kali dia melihat koleksi Hello Kitty yang tersusun rapi memenuhi ruang bilik tidurnya, dia merasa tenang dan gembira. Kebetulan warna merah dan merah jambu merupakan kesukaannya sejak kecil. Mungkin dari itu datang minat untuk terus memiliki koleksi watak comel itu.

Ditanya sama ada dia sanggup menjual koleksi peribadi jika ada yang berminat kata Syaza, apa yang ada di bilik tidurnya tidak mungkin dijual.

“Syaza dah peruntukkan mana untuk dijual dan mana koleksi peribadi yang sangat disayangi,” kata gadis ceria ini mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: