Sunday, May 29, 2011

Karya gerak hati Yasalma


Shafa manis mengenakan gaun unik motif bunga Yasalma manakala Safia langsing dengan gaun kembang leopard.


REKAAN hanya dari gerak hati. Itu jawapan diberi pereka busana Muslimah yang semakin meningkat nama, Siti Salmah Noordin tatkala diaju mengenai prinsip asas rekaannya.

Dia tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang fesyen, jauh sekali dibimbing pereka tersohor negara. Namun itu bukan halangan untuk terus berkarya.

Bermula dari menjahit pakaian anak patung seawal usia enam tahun dan menjual kepada rakan-rakan, minat terhadap jarum dan benang sukar dibendung lagi. Pada usia remaja, dia sudah mula menerima tempahan baju kurung, dress atau blaus.

“Ketika teman lain selesa berbaju kurung, saya pula menghasilkan kurung moden dengan sedikit sentuhan kreatif untuk tampil lebih unik,” kata wanita berusia 30 tahun yang mesra disapa Salma.

Minatnya tidak terhenti di situ. Ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dia membuka mata seluasnya. Menghayati fesyen dari seluruh dunia terutama peluang bergaul dengan rakan dari Asia Barat, tertanam dalam diri untuk terus mencipta nama dalam bidang yang paling diminatinya ini.

Justeru usai pengajian, berbekal label Yasalma Collections, dia terus mengorak langkah dan kini mula menjadi sebutan peminat himpunan busana Muslimah tempatan.

Lebih membanggakan busananya turut disarung selebriti bertudung terkenal seperti Heliza Helmi, Aida Khalida, Catriona Ross dan ramai lagi. Malah cetusan idea Salma turut diberi pengiktirafan apabila jenama muslimah terkenal, Hajaba menawarkan kolaborasi untuk himpunan terbaru mereka.

Tiada batasan

“Saya suka sentuhan dunia Asia Barat dan Sudan yang kelihatan misteri dan kadangkala berunsur mistik. Warna-warna bumi seperti coklat, hitam, perak dan gangsa menjadi pilihan, namun kadangkala saya memilih tona garang untuk kelihatan lebih menyerlah,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab ini.

Namun Salma tidak membataskan karyanya. Adakalanya dia bereksperimen dengan fesyen dari seluruh dunia. Gaya bohemian dan messy turut diminati. Begitu pun, dia tetap akur dengan tuntutan agama, setiap satu rekaan dipastikan sesuai memenuhi aurat seorang muslimah.

Bagi wanita berasal dari Setiawan, Perak ini, setiap rekaannya adalah karya agung. Justeru dia memastikan setiap rekaan dihasilkan secara eksklusif dan tiada dua. Kecuali bagi sesetengah rekaan kasual harian seperti kardigan, skirt dan selendang.

Salma meminati material kapas lycra, denim dan chiffon. Bahan tersebut baginya sesuai dengan cuaca panas negara ini. Tambahan lagi, ia kena dengan fesyen muslimah masa kini.

Hadir dengan himpunan baru Leopard, bercirikan tompokan sang harimau bintang, ia garang namun tetap menawan. Terdapat 10 himpunan dalam koleksi ini. Pilihan dress labuh sesuai untuk majlis koktel, malah tidak keterlaluan juga andai digayakan sebagai himpunan kasual harian.

Maklumat lanjut layari http://yasalma.com. atau facebook Yasalma Modest Dress Designer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: