Saturday, May 28, 2011

Percutian eksklusif di Marriott




NAMA Hotel Marriott sememangnya tidak asing lagi di Malaysia. Ditambah dengan statusnya yang gah sebagai antara hotel bertaraf lima bintang.

Kewujudan Hotel Marriott di Putrajaya sejak sembilan tahun lalu telah mempopularkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sebagai destinasi yang sering dikunjungi pelancong dari dalam mahu pun luar negara.

Dengan menggabungkan reka bentuk Mediterranean dan Moorish, ia mengambil inspirasi daripada daun nipah untuk membentuk keindahan dan hiasan.

Terletak bersebelahan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), dari jauh keindahan bangunan yang tersergam indah itu boleh dilihat dalam pekarangan IOI Resort City.

Hotel ini yang mempunyai 488 bilik antaranya jenis Deluxe, Executive, Executive Suite, Junior Suite dan Presidential Suite, telah diatur mengikut piawaian antarabangsa.

Kesemua bilik itu dilengkapi TV skrin rata bersaiz 37 inci dengan siaran Astro, kemudahan Internet dan kemudahan telefon panggilan antarabangsa (IDD), selain perabot yang mewah dan bermutu tinggi.

Bagi menyambut musim cuti sekolah yang akan bermula hari ini, Hotel Marriott Putrajaya turut tidak terlepas menyediakan beberapa pakej percutian istimewa kepada keluarga.

Bermula dengan harga pakej bilik serendah RM268, pengunjung boleh menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh pihak hotel.

Hotel Marriott Putrajaya menyediakan beberapa tempat menarik untuk menjamu selera mengikut cita rasa pengunjung. Dengan hiasan yang menarik menjadikan pengalaman menjamu selera di situ cukup bermakna buat para tetamu.

Restoran Zest yang diberi nafas baru, daripada sebuah Coffee Bean biasa, ia diterapkan dengan elemen gaya hidup moden yang mana ketika tetamu menjamu hidangan, mereka juga boleh melayari Internet atau mengadakan mesyuarat di restoran itu.

Bagi penggemar masakan Cina dan Jepun, restoran Summer Palace dan Midori pastinya memberi jawapan terbaik. Pengunjung boleh menikmati hidangan secara bufet dengan harga yang sangat berpatutan.

Restoran tersebut sangat terkenal di kalangan pengunjung Islam kerana menyediakan hidangan 100 peratus halal.

Di Summer Palace, pengunjung boleh menikmati hidangan dim sum dengan harga bermula RM68 manakala di Midori, pengunjung boleh mencuba masakan Jepun dengan harga yang sama.

Yang menariknya, walaupun dihidangkan secara bufet, pengunjung tidak perlu bersusah payah bangun untuk mengambil makanan kerana pelayan di situ sedia menghidangkan makanan apabila dipanggil.

Tidak ketinggalan bagi penggemar masakan Itali, Tuscany Restaurant & Pizza Bar menyediakan pelbagai jenis pasta dan piza yang disediakan hasil air tangan chef berpengalaman.

Pada setiap Ahad pula, Tuscany Restaurant & Pizza Bar akan menyediakan hidangan barbeque Alfresco atau bermaksud barbeku di kawasan terbuka yang pastinya memberikan pengalaman menarik.

Jauh dari kesibukan ibu kota, Hotel Marriott Putrajaya juga sesuai sebagai tempat menghilangkan tekanan pada hujung minggu.

Ini kerana spa Dewi Sri Martha Tilaar menyediakan bilik rawatan eksklusif dan spa berkonsepkan Bali. Pengunjung akan dibelai oleh pakar terapi bertauliah yang dibawa khas dari Bali.

Pengunjung yang memasuki premis ini akan disambut dengan haruman khas dari Bali sehingga mewujudkan suasana yang cukup damai dan tenang seolah-olah berada di pulau yang paling terkenal di Indonesia itu.

Pilihan spa merangkumi urutan tradisional, urutan terapi aroma, rawatan spa menggunakan coklat dan rawatan spa kopi dan limau.

Bagi suami yang tidak mahu membuang masa menunggu si isteri mendapatkan rawatan spa, bolehlah mengunjungi gimnasium berhampiran pusat spa tersebut.

Bagi si kecil pula, disediakan sebuah Kid's Club yang dilengkapi pelbagai jenis aktiviti dan permainan moden seperti Play Station dan mini teater yang pastinya menyeronokkan setiap kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: