Sunday, May 8, 2011

Boy Strike United sasar juara bawah 12 tahun


KUMPULAN Boy Strike United yakin mampu memberi cabaran pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! tidak lama lagi.


KUALA LUMPUR - Gagah seperti hulubalang lima bersaudara, pasukan Boy Strike United memasang impian membenam kesemua pasukan lawannya dalam kategori bawah 12 tahun.

Malah mereka berazam mencipta kejayaan dengan jaringan besar iaitu sekurang-kurangnya enam gol dalam setiap perlawanan.

Pasukan yang dibarisi oleh lima sekawan sejak kecil itu terdiri daripada Amirul Khalis Ariady, Saiful Nazmi Zaki, Mohd. Afnan Jas, Mohd. Azanur Mohammad dan Mohd. Izafi Ismail dan mereka bakal beraksi pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! bermula 26 Mei ini.

Pengurusnya, Kalsom Abdullah berkata, kesemua pemain tersebut sering menghabiskan masa bersama selain aktif dalam sukan bola dan futsal sejak berumur enam tahun lagi.

"Di mana-mana sahaja, kelima-lima bersaudara ini mesti bersama-sama tidak kira dalam segala aktiviti sekolah, pertandingan sukan serta berhibur.

"Jadi, keserasian telah wujud, terutamanya dalam memahami corak permainan masing-masing dan tidak mustahil mereka akan menyinar pada kejohanan tersebut," kata Kalsom ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pemain pasukan yang majoritinya berumur 12 tahun itu merupakan pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Labuhan Dagang, Banting, Selangor.

Menurut Kalsom, impian itu tidak mustahil meskipun mereka baru pertama kali menyertai Rentap Futsal.

Katanya, ini kerana mereka baru memenangi Pertandingan Futsal Petronas bawah 12 tahun yang diada- kan di Olak Lempit, Banting, pada Februari lalu.

Kelima-lima bersaudara itu turut mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya membantu sekolah mereka pada Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Langat pada bulan April lalu.

Mengulas lebih lanjut, Kalsom berkata, segala persediaan telah dilakukan dalam semua aspek termasuk pengawalan bola, strategi dan psikologi dengan menjalani latihan setiap petang sejak lima bulan lalu di sekolah tersebut.

"Walaupun pasukan lain juga hebat tetapi kami yakin dan akan berjuang habis-habisan bagi memenangi kategori ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: