Sunday, May 8, 2011

Cacat bukan penghalang Mahadzir


MAHADZIR (tiga dari kiri) menerima ucapan tahniah daripada para penerima anugerah selepas Perhimpunan Hari Pekerja 2011 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Operator Telefon Bank Pembangunan, Mahadzir Derani @ Abdul Ghani, 40, dinobatkan sebagai Pekerja Cemerlang bagi kategori orang kurang upaya (OKU) bersempena sambutan Hari Pekerja tahun ini.

Mahadzir yang cacat penglihatan menerima Anugerah Pekerja Cemerlang OKU 2011 ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan beliau dalam pekerjaan selain bergiat aktif dalam kesatuan pekerja dan aktiviti sukan.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebajikan Pekerja-Pekerja Perdagangan Bank Pembangunan menerima sijil penganugerahan dan wang tunai sebanyak RM5,000.

"Saya amat gembira dengan penganugerahan ini kerana ia secara tidak langsung membuktikan bahawa golongan OKU juga mampu menyumbang kepada industri pekerjaan di negara ini dengan baik.

"Rahsia kerja saya pula adalah bekerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak mahu dianggap sebagai beban kepada majikan mahupun pelanggan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Putra Bukit Jalil di sini semalam.

Sementara itu, Anugerah Pekerja Cemerlang Kumpulan Eksekutif 2011 diterima Penolong Pengurus Bahagian Operasi Rangkaian Kawasan Selatan, Telekom Malaysia Berhad (TM), Pawziah Yunos.

Anugerah Pekerja Cemerlang Kumpulan bagi kumpulan bukan eksekutif pula diberikan kepada Pegawai Pemasaran, TM, Abd. Aziz Shawab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: