Saturday, May 7, 2011

6ixth Sense 'gilakan' dinosaur


(Dari kiri) Wan, Adi dan Athan berbincang tentang patung dinosaur yang ingin dibeli.


Bagi mereka, walaupun binatang itu telah lama pupus, namun naluri untuk mendekati rangka binatang tersebut tidak pernah padam.

Baru-baru ini, tiga daripada lima anggota kumpulan 6ixth Sense tidak melepaskan peluang berkunjung ke pusat tersebut untuk melihat dengan lebih dekat lagi, replika haiwan itu.

"Kami memang meminati dinosaur kerana keunikan binatang itu yang mempunyai pelbagai karakter.

"Sayangnya ia telah lama pupus tetapi kewujudan binatang itu sejak berjuta tahun dahulu membuatkan kami yakin ia bukan satu dongeng," kata vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo Sambodo atau lebih popular dengan panggilan Adi.

Dua lagi anggota kumpulan itu yang turut sama meluangkan masa mengunjungi pameran tersebut adalah Athan atau nama sebenarnya, Shahrul Effendy Sha'ari (pemain gitar kedua) dan Wan atau Mohd. Safwan Hasnan (pemain drum).

Bagaimanapun, dua lagi anggota kumpulan yang popular dengan lagu Menyesal, tidak hadir iaitu gitaris utama, Mohd. Faiz Azizi Arlis atau Faiz kerana demam dan basis, Muhammad Fairoz Ramly yang menghadiri kuliah.

Adi secara berseloroh berkata, sekiranya binatang itu masih wujud, 6ixth Sense berhasrat untuk membuka sebuah taman ala-ala Jurassic Park.

" Saya sekadar bergurau. Jangan ambil serius ya. Mana mungkin untuk kita membuka sebuah Jurassic Park di zaman ini.

"Namun aktiviti seperti ini membuatkan kami bertambah rapat memandangkan selain mengadakan persembahan, dengan cara inilah kami dapat meluangkan masa bersama," katanya yang berasal dari Jamber, Indonesia.

Katanya lagi, dalam semua himpunan keluarga dinosaur, yang paling diminati ialah Tyrannosaurus rex atau T-rex kerana binatang itu gagah dan berani.

"T-rex umpama seekor singa yang menjadi raja di rimba. Andai kata T-rex ada pada hari ini, besar kemungkinan dialah raja segala binatang.

" Realitinya, T-rex hanya sekadar nama di mana kewujudannya dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar arkeologi.

"Maka itulah, kami gila menonton filem-filem berkisar tentang dinosaur seperti Jurassic Park arahan Steven Spielberg.

"Dalam filem dinosaur, watak T-rex mesti ada. Tanpa T-rex, zaman dinosaur seolah-olah tidak lengkap," kata Adi.

Bagi mereka walaupun telah berabad dinosaur pupus dari muka bumi, namun haiwan itu tetap diperkatakan oleh semua pihak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: