Saturday, May 7, 2011

Chuari tidak kenal erti bersara


CHUARI dan isterinya melayan empat daripada lima cucu yang tinggal bersama mereka di Ampang, Selangor sewaktu ibu bapa kanak-kanak itu keluar bekerja.


Sungguhpun telah pencen, tetapi pesara berusia 58 tahun ini tidak boleh duduk diam. Jiwa dan baktinya mahu terus dihalakan kepada dunia penyiaran radio dan pengacaraan.

Sebab itu, tidak hairanlah Chuari bersedia mencurahkan segala pengalamannya bagi dikongsi semua pihak. Bapa kepada tiga anak dan lima cucu ini pula memang tidak lokek ilmunya.

Menurut bekas Pengurus saluran radio Klasik Nasional ini, sejak sebelum bersara banyak pihak yang menagih pengalamannya itu. Dia kini akan terus bekerja walaupun telah begelar pesara.

"Sebelum bersara lagi banyak pihak yang menawarkan saya kerja. Saya sedang menimbang tawaran itu. Kalau boleh biarlah ia ada kaitan dengan bidang dan pengalaman saya.

"Saya lebih ke arah bidang penyiaran radio, pengacaraan, penulisan dan bahasa. Saya seperti tidak puas mencurahkan bakat dan pengalaman saya sepanjang 38 tahun bekerja di RTM.

"Apatah lagi, saya masih sihat dan mempunyai lebih banyak masa selepas bersara," katanya kepada S3 sewaktu berkunjung ke rumahnya di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Pengalaman yang dimiliki oleh penerima Anugerah Angkasapuri 2005 ini sudah mula diagih-agihkannya sebelum dia bersara beberapa tahun sebelum itu lagi.

Beliau sebelum bersara lagi misalnya, telah dilantik sebagai pensyarah di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) di Angkasapuri, Kuala Lumpur dalam bidang pengacaraan.

"Selain mengajar di IPTAR sejak lebih 15 tahun lalu, saya juga mengajar subjek yang sama di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bahru, Selangor sejak lapan tahun lalu.

"Pada masa sama saya juga masih memenuhi undangan memberi ceramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Akademi Kastam dan Universiti Teknologi Mara.

"Selepas bersara, saya tetap akan memenuhi undangan memberi ceramah dan mencurahkan pengalaman saya dalam bidang ini. Selebihnya barulah saya buat aktiviti sendiri," ujarnya.

Terlalu banyak yang boleh dikongsikannya sewaktu berceramah atau mengajar di institusi pengajian tinggi atau badan-badan kerajaan terutama buat penyampai radio yang baru.

Antaranya soal petua dan pengalamannya menjaga suara sewaktu bergelar penyampai dan Pengawal Radio Rima, Radio Muzik serta Klasik Nasional sehinggalah waktu persaraannya.

"Setakat ini saya tiada masalah tentang suara. Saya juga tidak mengamalkan petua-petua tertentu. Cuma saya elakkan ais dalam minuman selain mengutamakan minuman tertentu.

"Contohnya air barli suam dan teh o limau suam di mana pada masa sama kurang suka makan nasi lemak pada awal pagi pagi mengelakkan badan lemah. Paling penting tidur kena cukup.

"Biasanya saya tidur enam jam sehari. Kalau tidak tidak cukup ia akan mempengaruhi mutu suara apatah lagi pada awal pagi sewaktu mahu ke udara di radio terutamanya pada awal pagi," jelasnya.

Jika tiada urusan di luar, Chuari lebih senang tinggal di rumah melayani lima orang cucunya bersama-sama isterinya, Aini Othman, 58, yang juga telah bersara sebagai kakitangan swasta.

Lima cucunya iaitu Mohd. Nabil Hakimi, 4, Aishah Balqis, 3, Mohd. Farhan Aqil, 2, Nur Irdina Batrisya, setahun setengah dan Mohd Adib Irfan, 2, yang begitu rapat dengannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: