Friday, March 10, 2017

Zulin Aziz Ambil Masa Setahun ‘Cari’ Suara Sebenar



Zulin Aziz mengambil masa setahun untuk menghasilkan single. 
PETALING JAYA: Pengacara dan penyampai radio Suria Fm, Zulin Aziz mengambil masa setahun untuk mencari identiti suara sebenar bagi merakam single pertama berjudul Terbiar.
Zulin, 28, berkata, perkara itu disebabkan kekeliruan timbul terhadap suara aslinya apabila dia sering meniru suara-suara artis popular tempatan.

"Susah juga untuk menjadi penyanyi kerana saya terpaksa melalui proses rakaman suara beberapa kali sepanjang tahun 2015 lalu.
Zulin Aziz ketika menyanyikan lagu Terbiar.
"Mereka terpaksa mengenal pasti mana suara saya yang sebenar kerana saya banyak sangat meniru suara penyanyi lain sehingga beri kesan kepada lagu sendiri," ujarnya.

Zulin ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya berjudul Terbiar yang diadakan di pejabat Warner Music, di sini, Rabu.

Lagu bergenre bossa balada ini merupakan ciptaan Aiyad Sakti dan Ijoo Omar.

Pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abd Aziz ini berkata, dia ditawarkan untuk merakam single tersebut selepas menyanyi di pusat karaoke bersama komposer berkenaan.
Zulin Aziz.
"Kami menyanyi di karaoke bersama rakan-rakan dan tiba-tiba Aiyad secara serius menawarkan lagu untuk saya secara serius.

"Saya ambil peluang tersebut sebagai cabaran dan secara tidak langsung menjadi hadiah kepada peminat-peminat saya yang sering bertanya tentang lagu saya sendiri," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang cabaran untuk menembusi stesen radio pesaing, Zulin berkata, dia yakin banyak platform baharu yang boleh mempopularkan lagu berkenaan.

Bagaimanapun, dia tetap berharap mendapat sokongan daripada pihak radio-radio tempatan lain.

"Saya faham status sebagai penyampai radio di Suria FM agak sukar untuk menembusi radio-radio yang lain.

"Saya harap dapat sokongan daripada stesen radio lain, tapi jika tidak sekalipun banyak cara lain terutama media sosial yang membolehkan orang mendengar lagu ini," ujarnya.

Dalam pada itu, biarpun sudah bergelar penyanyi, Zulin berkata, dia akan tetap meneruskan aktiviti menyanyi di laman sosial Instagram.

"Saya akan terus menyanyi lagu-lagu orang di Instagran kerana saya tahu pengikut-pengikut saya ingin melihat saya menyanyi dan meniru-niru suara artis lain," ujarnya.

Bising & Bingit Itu Cara Saya - Achey

Achey jangka cara mengacara program Gema Gegar Vaganza akan dikritik. PETALING JAYA:  Pelawak Achey memberitahu dia diminta oleh pi...