Tuesday, March 14, 2017

Resort Milik Bumiputera Tarik Minat Saharul Ridzwan Jadi Duta



Saharul Ridzwan dilantik sebagai duta Erya by Suria. 
BENTONG: Syarikat berteraskan bumiputera antara kriteria yang mendorong pelakon Saharul Ridzwan menerima tawaran menjadi duta syarikat perhotelan iaitu Erya by Suria.
Saharul atau Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 28, berkata selain tertarik dengan strategi pemasaran diperkenalkan syarikat itu, dia juga ingin menyokong perniagaan syarikat dimiliki oleh bumiputera.
"Saya menerima 'lamaran' itu kerana ingin memberi sokongan kepada syarikat yang berteraskan bumiputera.

"Lagipun menjadi duta untuk resort dan hotel adalah sesuatu yang saya rasa menarik kerana jarang kita dengar artis menjadi duta hotel.

"Sewaktu saya menerima tawaran itu, saya berpendapat ia platform terbaik untuk lebih dekat dengan peminat-peminat di luar sana," ujarnya.
Saharul bergambar kenangan bersama orang kuat Erya by Suria pada sidang media yang diadakan di Suria Hot Spring Resort Bentong, Pahang, Sabtu lalu.
Saharul ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan dan pelantikannya sebagai duta Erya by Suria yang diadakan di Suria Hot Spring Resort Bentong, Pahang.

Mengulas lanjut, Saharul berkata memikul tanggungjawab sebagai duta syarikat perhotelan bukan perkara mudah kerana komitmen dalam mempromosi dan memperkenalkan jenama itu perlu digalas dengan baik.

"Selaku duta Erya by Suria ini, Insy-Allah saya akan pergi melawat ke semua lima cawangannya termasuk satu di London disamping mempromosikan jenama itu.

"Dengan tanggungjawab saya sebagai duta diharap dapat menaikkan nama baru Erya by Suria kepada masyarakat yang akan saya laksanakan sebaik mungkin," ujarnya.

Menurut Saharul, perbincangan mengenai pelantikan dirinya sebagai duta resort telah bermula sejak Disember lalu.
Saharul tertarik menjadi duta Eyra by Suria kerana ia adalah syarikat berteraskan bumiputera.
Saharul turut menganggap pelantikannya itu merupakan pembukaan tahun baru yang baik buatnya dan isteri selain rezeki anak yang bakal lahir.

"Saya percaya status saya sebagai suami dan lepas ini seorang bapa ini adalah rezeki untuk isteri dan anak yang bakal dilahirkan kelak.

"Saya berharap dapat meluangkan masa bersama keluarga bercuti ke cawangan-cawangan Erya by Suria termasuk di London", katanya.

Dalam perkembangan sama, pada acara itu Saharul turut membawa bersama rakan media serta peminat bagi meraikan pelantikannya sebagai duta.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada program selama dua hari itu termasuk cabutan bertuah dan 'treasure hunt'.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: