Friday, March 10, 2017

Peminat Alvin Chong Berkecil Hati



Alvin semakin mendapat tempat di pasaran Melayu.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Alvin Chong memberitahu peminat-peminat berbangsa Cina mula berkecil hati terhadap dirinya kerana dia dilihat lebih memberi tumpuan terhadap pasaran Melayu.

Alvin, 26, yang dikenali menerusi drama Suri Hati Mr Pilot ini berkata, dia masih aktif dalam pasaran orang Cina, namun mengakui sedang melebarkan sayap ke pasaran yang lebih besar di negara ini.

"Ramai peminat yang hantar tweet dan komen di Instagram mengatakan mereka berkecil hati terhadap saya kerana kurang aktif di drama-drama atau filem berbahasa Mandarin buat masa ini.
Alvin Chong

"Mereka kecewa kerana saya terlalu memberi tumpuan kepada drama-drama Melayu, tapi sebenarnya tidak juga kerana saya masih terima tawaran untuk pasaran Cina," ujarnya.

Alvin memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi sejak 2012 dan mempunyai 10 buah lagu dalam bahasa Mandarin, manakala sebuah filem berjudul 3 Brothers.
Bagaimanapun, Alvin berkata, dia berusaha untuk menjaga hati kedua-dua belah peminatnya agar tidak ada yang berkecil hati.

"Bila saya tweet dalam bahasa Mandarin, ada peminat Melayu yang minta saya berbahasa Inggeris kerana tidak faham, jadi saya perlu jelaskan pula pada mereka ada peminat yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.

"Ada juga peminat yang marah-marah saya dan anggap saya lupa daratan kerana melebihkan peminat Melayu. Namun saya malas melayan komen negatif kerana kalau mereka benar-benar peminat saya, mereka akan sentiasa menyokong apa yang saya lakukan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alvin bakal keluar dengan drama terbaharunya berjudul 3 Gadis Manis bersama Ayda Jebat, Mira Filzah dan Cristina Suzanne.

Dia berkata, kewujudannya dalam industri hiburan di pasaran Melayu semakin mendapat perhatian oleh pengarah-pengarah drama tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: