BAHAU - Polis daerah ini sedang mengesan dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kehilangan dua utas rantai emas bernilai RM7,000.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia antara 50 dan 60-an itu pada awalnya datang ke sebuah kedai emas di Bahau pada 2 Mac lalu sekitar jam 1.30 petang.
Menurutnya, pemilik kedai berusia 52 tahun telah memberikan dua utas rantai tangan kepada dua wanita terbabit untuk dicuba dan pada masa sama datang dua perempuan muda yang ingin melihat cincin emas.
“Suspek kemudiannya bersetuju untuk menempah gelang emas yang beratnya 50 gram lalu keluar kedai dikatakan untuk ke bank mengeluarkan wang deposit.
“Sedang mangsa sibuk melayan pelanggan lain, suspek bertindak melarikan diri malahan dua pelanggan muda di kedainya juga tergesa-gesa meninggalkan kedai tersebut selepas suspek keluar dari situ,” katanya selepas mengesahkan laporan, semalam.
Noor Zainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dua utas rantai yang diberikan kepada wanita terbabit telah lesap dan mengesyaki ia dilarikan warga emas tersebut.
“Setakat ini kita sudah melihat rakaman kamera litar tertutup di premis tersebut dan telah mengenal pasti suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang suri rumah berusia 34 tahun ditahan di hadapan sebuah bank di Bahau selepas didapati mencuri sebentuk cincin bernilai RM400 pada 2 Mac lalu kira-kira jam 11.20 pagi.
“Suspek pada awalnya datang ke kedai emas di Bahau dikatakan ingin membeli cincin. Dua bentuk cincin dikeluarkan, sebentuk daripadanya jurujual membuat pengiraan, sebentuk lagi dicuba oleh suspek.
“Suspek kemudian cuba beredar dari premis, namun dikejar jurujual sehingga di hadapan sebuah bank. Ketika itu ada polis sedang membuat rondaan dan terus menahan suspek. Suspek telah menyerahkan sendiri cincin yang dicurinya di kedai emas tersebut," katanya.