SUNGAI PETANI – Penemuan artifak bersejarah membuktikan Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan terkenal menerima kedatangan pedagang China, Arab, India dan Kepulauan Melayu.
Antara yang diperdagangkan termasuklah rempah-ratus, seramik dan manik kaca sehingga menjadikan ia sebagai pusat perdagangan Asia Tenggara terkenal pada kurun kedua hingga kurun ke-14 Masihi.
Pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, artifak yang ada di Muzium Arkeologi Lembah Bujang hasil ekskavasi di kawasan seluas kira-kira 450 kilometer persegi bermula dari Kota Sarang Semut sehinggalah ke Kota Aur, Seberang Prai Utara merupakan sejarah bernilai yang perlu dihargai.
“Ia muzium bertemakan arkeologi pertama di Malaysia mempamerkan artifak Proto-Sejarah atau pra Islam berdasarkan seni bina dan kepercayaan masyarakat silam seperti candi Hindu-Buddha selain tempat pemujaan serta penyembahan pedagang yang ditemui.
“Bila kita lawat muzium, bukan sahaja boleh melihat, malah mendengar menyentuh dan bertanyakan kepada juru pandu tentang keistimewaan kawasan ini,” katanya.
Beliau berpendapatan, ia perlu diberi pendedahan kepada generasi muda dan anak cucu tentang muzium itu yang dibuka secara rasmi pada 23 Januari 1980 oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.
Rungkai sejarah kedatangan agama
Pelancong dari Singapura, S Subramaniam, 60, berkata, walaupun agak penat kerana telah melawat ke beberapa negeri, seorang kawan mencadangkan dia singgah ke muzium berkenaan.
“Saya hampir berpatah balik kerana letih namun apabila sampai terkejut lihat sejarah awal kedatangan agama Hindu-Buddha ditempatkan dengan baik di sini.
“Sejarah ketamadunan seperti kedatangan agama Hindu Buddha dipamerkan dengan baik sekali, dihargai dan dikaji, ia mengimbau semula kenangan silam yang sebelum ini tidak tahu tentang kewujudannya.
“Ini menunjukkan, ia bukanlah tentang agama itu semata-mata tetapi apa yang saya kagum ialah sejarah itu terpamer di muzium ini,” katanya.
Rakannya, G Pannir, 57, berkata, apa yang dapat dilihat bukanlah semata-mata bentuk candi dan ukiran artifak yang membuktikan kehidupan zaman silam sebaliknya ia simbol keagamaan, ketamadunan, keamanan dan kedamaian.
Jejak tinggalan sejarah
Pelancong dari Taiping, David Joseph, 73, berkata, setelah menjejaki kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang menyimpan artifak sejarah dan penemuan bukti yang dapat dilihat seperti serpihan tembikar dan manik yang digunakan pedagang menjadikan kawasan itu tempat yang harus dilawati.
Beliau yang juga pengendali kelas yoga kanak-kanak dan pencinta alam semula jadi menjelaskan teruja apabila dapat melihat sendiri kesan peninggalan dan bukti kedatangan agama Hindu dan Buddha di negara ini.
“Bukan sahaja ada artifak dalam ruang pameran kaca, malah candi yang dipamerkan juga menunjukkan seni bina masyarakat dahulu amat teliti.
“Apa yang ditemui seperti patung, kepingan, serpihan dan bentuk binaan yang menyatakan simbol tertentu menunjukkan masyarakat terdahulu sudah mahir dalam seni bina dan kejuruteraan,” katanya.
Penduduk setempat, S Siva, 44, berkata, sejarah perlu ditekankan kepada masyarakat kini terutama kepada rakyat bagi membolehkan mereka mengambil iktibar serta mempelajari kejayaan yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.
“Lembah Bujang sebuah kawasan pelabuhan entrepot yang gemilang suatu ketika dahulu dikunjungi pedagang asing dari timur dan Asia Barat.
“Jika rakyat tahu kekuasaan dan kegemilangan ini sehingga ia terkenal di serata dunia, sudah pasti sejarah ini diangkat tinggi, dihormati, dan dimartabatkan,” katanya.
Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang terletak dekat pekan Merbok, 23 kilometer dari bandar Sungai Petani, dibuka secara percuma setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang.