Thursday, March 2, 2017

Hazama Lalui Kehidupan Tenang Selepas Kahwin



Hazama dan isterinya Genervie. 
PETALING JAYA: Penyanyi Hazama mengakui kehidupannya lebih tenang selepas mendirikan rumah tangga dengan pemuzik iaitu Genervie Kam pada 15 Januari lalu.

Hazama, 33, berkata, dia juga dapat menghadapi tekanan dengan baik dan lebih matang untuk berhadapan dengan sesuatu isu.

"Alhamdulillah, memang satu perasaan yang berbeza sebelum berkahwin, saya rasa kehidupan lebih tenang, tersusun dan tidak terburu-buru seperti ada yang hendak dikejarkan.

"Jika saya berhadapan dengan masalah, saya tidak cepat melatah dan boleh berkongsi dan mengadu dengan isteri," ujarnya.

Pasangan ini berkahwin di Orchard Villa 15 Januari lalu.
Hazama atau nama sebenarnya Hazama Azmi, diminta mengulas tentang perkembangan rumah tangga yang sudah lebih sebulan dibinanya itu.

Dia dan Genervie atau nama sebenarnya Kam Shi Ling diijabkabulkan dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Orchard Villa dekat sini, bulan lalu.

Kata penyanyi lagu Di Amaran Mama ini, dia juga merasakan ikatan suami-isteri itu dapat mengelakkan mereka daripada sering bergaduh seperti ketika menjadi pasangan kekasih.

Sejak berkahwin kami jarang bergaduh. Kalau dulu memang selalu sahaja bergaduh. Sekarang banyak saya belajar untuk mengambil hati masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang cahaya mata, Hazama berkata, dia sentiasa bersedia andai dikurniakan rezeki zuriat pada masa terdekat.

"Insya-Allah, kami tidak merancang dan kalau dapat rezeki cahaya mata dalam masa terdekat ini saya terima," ujarnya yang kini sibuk dengan program Mentor Milenia musim kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: