Tuesday, March 14, 2017

Hamil 3 Bulan, Isteri Alah Bau Badan Hafidz Roshdi



Hafidz Roshdi kini menggalas tanggungjawab menguruskan rumah tangga ekoran isterinya sedang hamil anak pertama mereka. Foto Instagram @hafidzroshdi
KUALA LUMPUR: Pelakon Hafidz Roshdi memberitahu isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri mengalami alahan terhadap bau badannya semenjak wanita itu hamil anak pertama mereka yang kini memasuki usia tiga bulan.

Disebabkan situasi itu juga, pelakon berusia 23 tahun itu memberitahu dia terpaksa tidur seorang diri kerana Nurul Shuhada akan muntah apabila terbau badannya.

"Alhamdulillah kandungan isteri saya sudah pun memasuki usia tiga bulan dan buat masa sekarang alahannya sangat teruk.

"Paling pelik dia tidak boleh menghidu bau badan saya dan disebabkan itu juga kami tidak tidur sekatil.

"Tetapi saya faham dengan situasinya dan berharap alahannya itu akan berakhir secepat mungkin," katanya.

Hafidz ditemui pada program siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL2017) yang diadakan di Sunway Putra Mall di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Hafidz berkata, semenjak isterinya hamil dia mengambil semua tanggungjawab dan tugas menguruskan rumah mereka.
Hafidz dan Nurul Shuhada sedang menanti kelahiran anak pertama mereka.
Ini kerana kata Hafidz, dia ingin Nurul Shuhada mendapat rehat secukupnya dan hanya memberi tumpuan kepada kehamilan anak pertama mereka.

"Buat masa ini persediaan yang saya buat sebelum anak lahir adalah mengambil tanggungjawab menguruskan rumah dan keperluan isteri.

"Daripada mengemas, memasak, mencuci semualah saya yang buat kerana isteri pun sedang mengalami alahan teruk jadi biarlah dia berehat dan fokus kepada kehamilannya," katanya.

Bercakap lanjut mengenai kehamilan Nurul Shuhada, Hafidz berkata, isterinya itu sering mengidam apabila waktu malam sehingga membuatkan dia kelam kabut bagi memenuhi keinginan wanita itu.

"Kalau perkara biasa yang diminta Insya-Allah saya gagahkan diri mencari tetapi baru-baru ini dia pernah minta hendak makan masak lemak betik.

"Bayangkan macam mana saya hendak cari tambahan pula hari sudah malam ketika itu," katanya.

Sementara itu, Hafidz berkata, dia banyak meminta nasihat dan tip daripada bapanya sebagai persediaan bergelar seorang bapa.

"Pada tahap sekarang saya tak banyak membaca atau mencari maklumat dalam internet tetapi suka meminta nasihat dan tip daripada bapa saya.

"Dia yang banyak beri maklumat tentang bagaimana ingin menjaga isteri hamil dan bersedia bergelar bapa tidak lama lagi," katanya.

Ditanya soal anak, Hafidz berkata, dia berharap dikurniakan cahaya mata lelaki namun menyerahkan perkara itu kepada takdir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: