Monday, March 6, 2017

Dira Tetap Dengan Pendirian Bersara Sebagai Pelakon



Dira Abu Zahar bersama trofi yang dimenanginya.
KUALA LUMPUR: Pelakon Dira Abu Zahar tetap dengan pendiriannya untuk bersara daripada bidang lakonan bagi menumpukan kepada kerja-kerja pengarahan.
Dira berkata, kemenangan telefilem arahannya Redhaku Untukmu pada Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee pada malam Sabtu lalu juga petanda untuk terus kekal dengan keputusan itu.

"Sebelum ini lagi saya memang sudah buat kenyataan akan bersara daripada bidang lakonan dan saya masih tetap dengan keputusan itu.

"Kemenangan Redhaku Untukmu juga saya lihat sebagai petanda untuk saya terus fokus kepada kerja pengarahan sahaja," katanya.

Pada acara itu selain Telefilem Terbaik, Dira turut diumumkan sebagai penerima trofi Pengarah Terbaik.

Dua pelakon telefilem itu, Sharifah Sakinah dan Iedil Putra turut membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Dalam pada itu, Dira berkata, walaupun sudah bersara namun dia masih menerima pelbagai tawaran berlakon daripada produksi namun menolak dengan baik.

Kata Dira, meskipun perasaan rindu terhadap lakonan masih menebal namun dia perlu menetapkan pendirian agar dapat fokus kepada sesuatu perkara sahaja.

"Rasa 'gian' berlakon itu memang ada malah tawaran juga masih banyak.

"Tetapi saya perlu buat pilihan dan fokus kepada sesuatu perkara sahaja," ujarnya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mengarah filem, Dira berkata, buat masa ini dia ingin memberi tumpuan kepada pengarahan drama dan teater sahaja.

Bercakap mengenai kemenangan Redhaku Untukmu, Dira memberitahu dia langsung tidak menjangkakan kemenangan itu kerana itu adalah percubaan pertamanya menyertai pertandingan itu.

"Ketika diberi peluang menghasilkan telefilem itu tiada apa saya fikirkan selain ingin buat yang terbaik.

"Tambahan pula ini adalah kali pertama saya bertanding dan hasilkan drama untuk RTM jadi saya tak tahu apa reaksi juri.

"Alhamdulillah ini semua hasil kerjasama daripada semua dari penulis skrip, pelakon dan krew," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: