Tuesday, March 14, 2017

Ben Nathan Suara Hasrat Tunai Umrah



Ben bersama Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave ketika muncul buat pertama kali menerusi program Selamat Pagi Malaysia pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati iaitu Ben Nathan menyuarakan hasrat untuk ke Mekah bagi mengerjakan Umrah.
Ben atau nama Islamnya Ben Adam Abdullah, 54, bagaimanapun berkata, sebelum itu dia akan ke Jakarta, Indonesia untuk merakamkan lagu terbaharunya di negara itu.

"Saya berhasrat untuk mengerjakan Umrah jika diberi kesempatan tetapi sebelum itu saya akan ke Jakarta bagi merakamkan lagu baharu saya.
Wajah terbaharu Ben Nathan.
"Lagu baharu ini nanti adalah sebagai tanda kemunculan semula saya dalam bidang muzik dan hadiah kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Ben pertama kali membuat kemunculan dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma TV, Angkasapuri bagi menceritakan tentang perkembangan terbaharunya.

Penyanyi itu turut ditemani oleh Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave.

Ben juga turut mengadakan persembahan istimewa secara Unplugged bersama adiknya, Bob Nathan menerusi dua buah lagu iaitu Stanza Sepi Sekeping Hati dan Tak Mungkin.

Penyanyi itu juga memberitahu dia akan merakamkan kembali lagu-lagu popularnya suatu ketika dahulu khas buat peminatnya.

Dalam pada itu, Ben berkata, dia teruja untuk merancakkan kembali karier seninya selepas hampir sebulan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan mental.

"Saya berasa cukup bersemangat sekarang selepas sebulan berehat di hospital malah saya telah memotong rambut sebagai imej baharu.

"Sepanjang berada di hospital saya mendapat rawatan dan layanan yang baik daripada semua kakitangan HKL dan bersyukur atas bantuan yang dihulurkan dan kini berasa lebih sihat," jelasnya.

Keadaan Ben ketika hidup sebagai gelandangan.
Sementara itu, DJ Dave berkata, Ben menunjukkan perkembangan positif selain mempunyai semangat yang kuat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Malah pihak YA1M dengan kerjasama Jojo Events akan mengadakan majlis makan tengah hari serta konsert amal untuk mengutip dana bagi membantu Ben.

"Insya-Allah majlis itu nanti akan diadakan pada 21 Mei depan di Saloma Bistro yang mana ia bukan sahaja sebuah majlis amal tetapi akan menyaksikan Ben mengadakan persembahan khas buat peminat.

"Diharap menerusi penjualan meja kita dapat mengumpul dana bagi membantu Ben," katanya.

DJ Dave juga turut mengalu-alukan penglibatan artis lain untuk sama-sama menjayakan acara itu nanti.

Ben sebelum ini menjadi perhatian apabila memperlihatkan kehidupannya sebagai gelandangan dan tidak terurus tersebar di laman sosial.

Bising & Bingit Itu Cara Saya - Achey

Achey jangka cara mengacara program Gema Gegar Vaganza akan dikritik. PETALING JAYA:  Pelawak Achey memberitahu dia diminta oleh pi...