Wednesday, August 22, 2012

Samsung Tech Central di Rumah Sayangan


SETIAP sukarelawan diberi tunjuk ajar dan latihan yang cukup untuk membantu Samsung mencapai sasaran dalam program khidmat baktinya.


SAMA seperti kanak-kanak lain yang teruja apabila diberikan gajet canggih seperti telefon pintar atau tablet, kanak-kanak penghuni Rumah Sayangan di Taman Billion, Cheras dekat Kuala Lumpur juga begitu.

Salah seorang penghuninya, Esther Wong, 12, berkata, dia amat teruja ketika tempat perlindungannya itu mendapat bantuan daripada Samsung dalam bentuk pemberian peralatan terkini.

Samsung baru-baru ini melancarkan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) di rumah kebajikan tersebut.

Bukan setakat Esther, yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah pada tahun ini, berasa gembira dengan pemberian itu. Pengurus rumah itu, Susan Looi berkata, semua kanak-kanak yang berada di situ turut ghairah mencuba kelengkapan baharu tersebut.

“Perasaan itu terserlah pada hari gajet-gajet itu tiba di Rumah Sayangan. Mereka percaya ia boleh mengubah masa hadapan mereka nanti.

“Menggunakan peranti-peranti terkini, penghuni boleh mendapat lebih banyak pengalaman berbanding cara belajar sebelum ini,” kata Susan.

Turut hadir pada majlis penyerahan gajet itu baru-baru ini ialah Pengarah CyberCare, Cheong Yuk Wai, Pengarah Urusan Samsung Malaysia, Kwon Jae Hoon dan Pengarah Pemasaran Samsung, Wong Fatt Weng.

Bertemakan Harapan Samsung Untuk Kanak-Kanak, premis yang digunakan sebagai tempat belajar para penghuni rumah tersebut telah diubah suai menjadi sebuah pusat yang kondusif dan menarik.

Memakan masa lebih kurang enam bulan, projek pendedahan kepada teknologi itu diberi nama Samsung Tech Central. Sebanyak 50 buah gajet diberikan dan antaranya kamera, televisyen, komputer riba, tablet dan pencetak.

Berbanding syarikat-syarikat lain yang hanya memberikan peralatan elektrik dan kemudian meninggalkan mereka tanpa memberi sebarang bantuan atau tunjuk ajar, kempen CSR Samsung itu melakukan sesuatu yang lebih mulia. Mereka turut menyediakan sebuah pasukan sukarelawan seramai 15 orang yang terdiri daripada kakitangan Samsung sendiri.

Setiap sukarelawan terlatih itu akan menjaga dan mendidik dua orang penghuni Rumah Sayangan. Mereka akan menghabiskan masa bersama-sama sukarelawan selama empat jam sehari dalam seminggu. Hari Sabtu dipilih untuk interaksi itu berlangsung.


DUA orang kanak-kanak Rumah Sayangan termasuk Esther (dua dari kiri) bergambar bersama Jae Hoon (dua dari kanan) dan Fatt Weng.


Personaliti

Melalui kerjasama dengan Organisasi Belia Cybercare (Cybercare), program CSR Samsung tersebut merangkumi tiga tahap dalam membentuk personaliti dan perkembangan kanak-kanak di rumah perlindungan yang dihuni seramai 19 orang itu.

Tahap pertama adalah dengan melengkapkan kanak-kanak tersebut dengan peralatan pembelajaran dan teknologi maklumat.

Tahap kedua pula melibatkan penglibatan sukarelawan Samsung iaitu dengan memberi pendidikan kepada penghuni mengenai cabaran hidup sebenar.

Paling akhir pula adalah mengadakan projek komuniti bagi menggalakkan interaksi para penghuni dengan masyarakat sekeliling.

“Pelancaran ini merupakan permulaan pada komitmen kami terhadap kanak-kanak tidak bernasib baik di Malaysia.

“Samsung akan mengembangkan usaha ini kepada lebih ramai lagi kanak-kanak di tempat-tempat lain di negara ini,” kata Pengurus Kanan Sambung Malaysia Electronics (Samsung), Elaine Soh.

Tambahnya, pusat yang sama akan dibuka di beberapa kawasan di Johor dan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: