SETIAP kali tibanya Aidilfitri, busana baru pasti tidak dilupakan. Tidak kira berhari raya di kampung atau bandar, muda atau tua, semuanya tidak ketinggalan membeli busana baru.
Ia lambang keceriaan dan keseronokan menyambut lebaran setahun sekali.
Bagi remaja perempuan, baju kurung moden atau kebaya menjadi pilihan untuk menyambut raya. Tetapi ada sesetengah remaja lebih suka memakai baju raya tahun-tahun sudah. Mungkin lebih jimat dan tidak mahu membazir.
Bagi Nur Mayzaitul Aqhma Ibrahim, 19, dia lebih gemarkan membeli baju raya baru setiap kali menjelang Syawal.
Bukan untuk bermegah-megah jauh sekali menunjuk-nunjuk tetapi itu adalah salah satu trend dan kepuasan baginya ketika menyambut hari raya.
"Bagi saya busana baru dapat melambangkan imej sekali gus mempamerkan keceriaan pada diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Cerita Mayzaitul lagi, dia sanggup mengumpul wang saku sendiri demi mendapatkan busana yang diidamkan.
Lain pula cerita Nur Azlin Zohari, 18, yang lebih suka memakai pakaian raya tahun-tahun sudah.
Dia yang nampak sangat bersederhana berkata, hari raya baginya lebih bermakna jika berada di samping keluarga tercinta.
Contohnya, membantu ibu memasak sajian untuk tetamu, mengemas dan menghias rumah dan sebagainya.
Erni Alwani Aman, 19, pelajar jurusan perniagaan di Institut Profesional Baitulmal berkata, lebaran tahun ini baginya sangat bermakna kerana dapat menyambut bersama-sama anak buahnya.
Katanya, walaupun sudah menginjak usia remaja, amalan bertandang ke rumah-rumah jiran untuk mengumpul duit raya masih dilakukannya bersama kawan-kawan.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ketiga-tiga anak buahnya yang pasti kelihatan gembira jika di bawa bersiar-siar.
Sementara itu, Nur Ain Mohd. Ali, 18, berkata, dia tidak seperti remaja-remaja lain yang lebih suka berjalan-jalan pada hari raya.
Katanya, hari raya hanya meriah pada hari pertama sahaja. Amalan bermaafan bersama keluarga dapat mencerminkan kekuatan dalam dirinya.
Tambahnya, jika keluarga tidak keluar menziarahi saudara-mara dia lebih suka duduk di rumah menonton televisyen.
"Bukan saya tidak ada kawan-kawan, tetapi ini adalah gaya yang saya lakukan sejak dahulu lagi," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.
Nur Sabrina Azmin, 18, pula berkata, setiap kali Aidilfitri menjelma, dia yang paling gembira.
Kata anak sulung daripada tiga beradik itu, hari raya baginya sangat seronok untuk diraikan bersama keluarga, kawan-kawan dan saudara-mara.
Dia yang sangat gemarkan ketupat dan lemang akan memilih dua sajian itu tanpa jemu walaupun dihidangkan di setiap rumah yang beliau datang berhari raya.
"Hari raya datang setahun sekali dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama mengumpul duit raya bersama kawan-kawan dan adik-adik saya," katanya.
Bagi si kecil molek, Nur Hasanah Aman, 17, dia lebih suka mengikut rakan-rakan menziarahi rumah ke rumah di taman perumahannya.
Jika tiada yang mengajak, dia bersantai di rumah adalah pilihannya.
Mengenai menu kegemaran pada hari raya, dia dengan pantas menjawab rendang ayam ibu menjadi pilihan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: