Sunday, May 8, 2011

Zahrah uji keupayaan diri

KOMITED...bersama sebahagian kakitangan syarikat.
KOMITED...bersama sebahagian kakitangan syarikat.
BANGGA...antara material atau bahan plastik yang dihasilkannya.
BANGGA...antara material atau bahan plastik yang dihasilkannya.

SELAMA 10 tahun bertugas di Unit Tenaga Nuklear, wanita ini mempertaruhkan seluruh keringatnya demi amanah yang disandarkan. Tanpa segan silu dia memberitahu, gaji terakhirnya ketika mencurah bakti di unit itu tidak mencecah RM2,000 sebulan sebelum berhenti kerja pada 1993.

Keputusan dibuatnya drastik, sekali gus mengejutkan keluarganya, namun katanya, wang bukan penyebab mengapa dia berhenti.


Sebaliknya, bersandarkan ijazah kedoktoran dimiliki, Datuk Dr Zahrah A Kadir mahu menguji keupayaan diri dengan memilih pembuatan plastik menerusi B & Z Plastic Industry Sdn Bhd untuk memanfaatkan peluang yang ada supaya hasilnya kelak dapat disalur kepada kerajaan semula.

Sesudah 20 tahun bergelumang dalam industri plastik selain satu-satunya Bumiputera dan wanita, Dr Zahrah yang berasal dari Pontian, Johor kini boleh menarik nafas lega berikutan syarikatnya berjaya menarik minat syarikat konglomerat terkenal dari dalam dan luar negara, sekali gus membekalkan peralatan hasil buatan kilangnya dalam skala besar ke Afrika, Singapura dan beberapa negara lain.


"Menyorot pembabitan awal dalam perniagaan, saya lebih dulu berhenti kerja kerana mahu buktikan saya serius berniaga. Kemudian merangka strategi supaya ia menjadi kenyataan di samping merangka pelbagai pelan bagi mengelak risiko atau kemungkinan yang bakal dihadapi.


"Untuk itu, saya mengambil cuti panjang dan menyatakan hasrat itu kepada ketua jabatan. Selepas beberapa tahun berniaga, suami mengikut jejak langkah saya kerana bimbang saya hilang arah disebabkan menceburi bidang pembuatan plastik bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Langkah awalnya, Dr Zahrah membangunkan kilang plastik di Kawasan Perindustrian Kuala Selangor. Dia mengakui bernasib baik suami memahami impian besarnya dan akhirnya turut berhenti kerja kerana mahu memberi sokongan padu dalam memantapkan syarikat diusahakan.


"Untungnya, saya dan suami memiliki ijazah kedoktoran dan kepakaran dalam bidang masing-masing sepanjang kami bekerja di bawah bumbung sama dan memudahkan kami menjadikan ia sebagai kayu pengukur."Ketika di Unit Tenaga Nuklear, saya adalah pakar dan mengetuai kumpulan Kesan Sinaran atau radiasi ke atas polimer (plastik) dan sering melakukan kajian terhadap bahan yang diuji kaji, kandungan sinaran selain mengawal kualiti.


"Sebelum itu saya berkhidmat di Pusat Penyelidikan Atom (Puspati) yang dikenali sebagai Institut Penyelidikan Tenaga Nuklear Malaysia (Mint) yang banyak membabitkan kajian terhadap bahan kimia, nuklear serta pelbagai elemen berkaitan sains dan teknologi," katanya.


Bersama suami tercinta, Dr Bajuri Kadmin, Dr Zahrah akui bukan mudah menjalankan perniagaan pada mulanya. Namun berkat kerja keras di samping sukakan cabaran membuatkan kedua-duanya banyak menghabiskan masa di kilang semata-mata membuktikan kesungguhan mereka.


Sesudah menceburi perniagaan dan meraih kejayaan dalam perniagaan itu, Dr Zahrah mengorak langkah dengan melakar perniagaan berasaskan jamu tradisional pula.


Mengusahakan Syarikat Merlang yang diinspirasikan daripada ibu tercinta, Merlang Abdul Rahman, 76, dia sungguh fokus sehingga berjaya menghasilkan ratusan produk kecantikan dan kesihatan.


"Dalam bidang pembuatan plastik memang tidak banyak saingan kerana yang penting adalah pengetahuan berkaitan industri dan perkara berkaitan teknikal, berilmu dan mesti rajin membaca demi mendapatkan maklumat berharga.


"Untuk satu produk dihasilkan, saya ambil masa dua tahun dengan kajian dan penghasilan berkualiti sehingga mampu bertahan sehingga 50 tahun bagi setiap barangan.


"Begitu juga dalam produk kecantikan, jika beri kualiti terbaik kepada pengguna, pasti ganjarannya berbaloi. Kepada mereka yang mahu menceburi bisnes, nasihat saya ialah, mulakan dengan sesuatu yang kurang berisiko, terutama dalam industri kecil sederhana, kerana sumber tenaga senang diperoleh," katanya.


Menurut Dr Zahrah, kasih sayangnya terhadap ibu jelas kerana wanita itu pernah mengusahakan jamu secara kecil-kecilan sewaktu membesarkannya bersama 10 adik beradiknya yang lain.


Ini membulatkan tekadnya untuk meneruskan usaha ibunya dengan melakukan pelbagai aspek 'penambahbaikan'.


Dalam perniagaan, seseorang itu akan diuji dengan pelbagai perkara dan dia mengakui tidak terkecuali terkena bahangnya terasa sewaktu krisis ekonomi 1997.


Walaupun begitu, ternyata kekuatan mental dan fizikal menjadi senjata paling ampuh baginya dan suami menghadapi kegawatan itu.


"Ketika itu, bukan tiada produk dihasilkan tetapi tiada tempahan barangan, bahkan material yang sepatutnya diperoleh tidak dapat dihantar, sekali gus membantutkan segala-galanya. Keadaan itu merencatkan perjalanan perniagaan yang dibina sehingga menjejaskan pendapatan.


"Mungkin soal rumah tangga tiada masalah kerana sudah menyediakan bajet tertentu buat keluarga dan anak. Namun pendapatan syarikat terjejas teruk sehingga memaksa saya berhutang. Agak mengecewakan, kawan yang pernah dibantu dalam perniagaan menarik diri," katanya.


Ibarat kata orang lama, setandan pisang tidak semuanya tidak elok, begitulah dialami Dr Zahrah saat ditimpa kesusahan.


"Ada rakan yang sama terbabit di bidang plastik memahami kesukaran kami saat itu lalu meminjam wang untuk kami bernafas selepas habis bergolok-bergadai. Kenangan itu tidak mungkin dilupakan kami selagi hayat dikandung badan," katanya mengimbas zaman sukarnya.



>Profil
NAMA: Datuk Dr Zahrah A Kadir
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan B & Z Plastic Industry Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Merlang
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Kedoktoran, Universiti Durham, United Kingdom
SUAMI: Dr Bajuri Kadmin
ANAK: Nazihah (25), Hazirah (23), Farid (21), Haziq (20) dan kembar, Nabilah dan Hamirah (16)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: