Sunday, May 8, 2011

Terganggu dek ramalan tsunami

Pantai Koh Samui, Thailand
Pantai Koh Samui, Thailand

TANGGAL 26 Disember lalu pasti tidak akan luput dalam sanubari penulis dan keluarga berikutan sebab tertentu yang jika diimbau semula memang menakutkan.

Pada tarikh berkenaan, kami berada di Koh Samui, Thailand untuk percutian keluarga sambil menghirup udara segar di pulau tersohor dan cantik itu.


Malam pertama ketibaan kami, penulis menggunakan kesempatan untuk tidur awal, sekitar jam 11 malam sebelum terjaga kira-kira lima jam kemudian.

  • Foto

    IMBAU KENANGAN... penulis berlatarbelakangkan pantai Chaweng

  • Foto

    SEDERHANA...pusat bandar Koh Samui.

  • Foto

    SATU-SATUNYA...Masjid Nurul Ehsan di perkampungan Melayu.

  • Foto

    PINTU MASUK...terminal feri di pusat bandar Koh Samui untuk feri dari Suratthani berlabuh.

Badan penulis mungkin terbiasa dengan waktu tidur yang sedikit tetapi dengan tambahan bunyi desiran air laut dan ombak menghempas pantai Lamai, Koh Samui menjentik kotak minda untuk berjaga.


Malah, kepenatan berjalan menyusuri kedai di pantai Chaweng sebelum pulang ke tempat penginapan tidak dapat memanjakan badan untuk tidur lena lebih lama daripada kebiasaan.


Sebaik terjaga, beberapa minit penulis terpaku mendengar deruan ombak menghempas pantai yang terlalu hampir dengan tempat penginapan iaitu kira-kira 20 meter saja.

Ketika ahli keluarga tidur, penulis menyelak langsir bilik dan terus terpandang di depan air laut yang tinggi terbentang luas beralun menuju ke pantai di malam gelap pekat. Mungkin air pasang malam kerana waktu siang tidak setinggi itu.


Namun seperti mana segala kejadian alam diatur Ilahi, air laut yang tinggi itu terhenti setakat di pantai sebelum mengundurkan diri kembali ke laut berulang-ulang kali.Di tengah malam sunyi begitu, bunyi air laut menghempas pantai menakutkan penulis. Bunyinya sungguh kuat dan menggerunkan.


Kenapa penulis berasa cemas sedangkan itu sekadar air laut semata-mata? Rupa-rupanya penduduk di situ, termasuk perkampungan Islam di Hua Thanon, sedia maklum mengenai kemungkinan berlakunya tsunami di pulau itu.


Sebelum ke Koh Samui, penulis langsung tidak mengetahui amaran berlaku tsunami oleh kerajaan Thailand di Bangkok yang kali ini berkemungkinan bermula di pulau itu.


Secara kebetulan, hari berkenaan adalah ulang tahun keenam bencana tsunami yang melanda Phuket pada 2004, selain Acheh di Indonesia dan Batu Feringghi, Pulau Pinang serta Kuala Muda, Kedah.


Selain bercuti, tujuan penulis ke Koh Samui bersama suami dan dua anak kami untuk menyampaikan sumbangan peribadi dan menunaikan hajat saudara Islam warga Australia yang kami temui ketika bersolat di surau lapangan terbang Tullamarine, Melbourne, Australia bagi menyerahkan sumbangannya kepada masyarakat Islam di situ.


Kami menuju ke Hua Thanon pada sebelah siang hari berkenaan. Kami ke kedai makan milik orang Islam untuk makan malam awal berikutan tidak sempat makan tengah hari kerana van yang kami naiki berhenti rehat di kedai bukan Islam di kawasan bandar Suratthani.


Perjalanan kami bermula dari Bukit Kayu Hitam di sempadan Malaysia, melepasi pekan Danok, daerah Sadao dan bermalam di pekan Hatyai, daerah Songkhla sebelum meneruskan perjalanan menaiki feri ke Koh Samui yang turut melepasi daerah Nakorn Sri Thammaraj.


Selesai menjamu selera, pemilik kedai makan membawa kami ke rumah tok khatib masjid kerana imam ke Kuala Lumpur selepas kami memberitahu hasrat kedatangan kami ke pulau itu.


Apabila masuk waktu, suami dan anak solat berjemaah di Masjid Nurul Ehsan yang didirikan menerusi sumbangan penduduk Islam setempat dan dermawan Islam Thailand.


Selesai bersolat, tok khatib mengajak kami minum di gerai perkampungan nelayan itu. Dalam gelap kami menyusuri lorong kecil di celah-celah rumah penduduk.


Gerai minum ini berdepan lautan yang terbentang luas, jika tidak diletakkan penghadang pasti angin kuat menerjah kami.


Menurut tok khatib, penduduk di kampung ini sekitar 600 orang yang ibu bapa mereka berasal dari Narathiwat dan berusaha mengumpul dana bagi membayar kawasan tapak sekolah agama, manakala tapak masjid sudah dijelaskan tetapi jika berlaku tsunami, segala-galanya lebur.


Mereka bercakap menggunakan bahasa Melayu Pattani. Lalu saya bertanya apa maksudnya.


Tok khatib menyatakan sudah sebulan pemerintah di Bangkok mengeluarkan amaran tsunami yang diramalkan berlaku pada 29 Disember 2010 dan kali ini bermula dari bahagian timur iaitu di Koh Samui dan dikatakan ketika kami tiba, ramai pelancong sudah keluar dari pulau itu yang menjadi destinasi pelancongan pilihan orang Eropah.


Sebagai orang Islam, penduduk hanya pasrah terhadap ketentuan Ilahi dan tetap tinggal di situ menjelang tarikh yang diuar-uarkan.


Perbualan di kedai kopi inilah terngiang-ngiang di telinga saya apabila melihat air laut pasang tinggi sehingga waktu dinihari.


Natijahnya seperti yang dunia ketahui, tsunami sememangnya terjadi tetapi datang dari sebelah timur bukan di Koh Samui, sebaliknya melanda daerah Sendai, timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.


Apapun, pengalaman itu menjadi pengajaran kepada kami sekeluarga supaya lebih peka dengan perkembangan di luar negara, terutama di lokasi berisiko, apabila ingin bercuti di luar negara.


Namun, pada masa sama kami tetap berpegang teguh bahawa ajal maut di tangan Tuhan. Manusia hanya mampu meramal tapi ketentuan tetap di tangan Allah.

>INFO
- terletak di wilayah Surat Thani di pantai timur Kra Isthmus
- pulau ketiga terbesar di Thailand dengan keluasan 228.7 kilometer persegi dan lebih 50,000 penduduk
- mula diteroka kira-kira 15 abad lalu oleh sekumpulan nelayan dari Semenanjung Malaysia dan Selatan China. Malah, China dikatakan mengetahui kewujudan pulau itu sejak 1687 dan dikenali dengan nama Pulo Cornam
- nama pulau itu dipercayai diperoleh sempena nama pokok tempatan, mui, atau daripada perkataan Cina, Saboey, bermaksud 'syurga selamat'. Koh pula perkataan Thai merujuk kepada pulau

2 comments:

  1. assalamualaikum tuan, saya berminat nak ke sekolah ni nak salurkan bantuan. skrg tgh dalam proses membuat kertas kerja. kalau boleh nak minta tuan emailkan saya di adinda.asila@yahoo.com sbb saya nak contact tuan utk beberapa perkara.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Allah~permudahkanlah baginya(NurulJannah Asila)~amin~

      Delete

Tinggalkan Komen Anda Sini: