Wednesday, May 25, 2011

UiTM perlu bina kampus kedua


SEBAHAGIAN daripada 277 graduan yang menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-74 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di Arau, baru-baru ini.


ARAU 24 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) disarankan membina kampus keduanya di Perlis supaya hasrat untuk membantu mengubah landskap sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera di negeri ini tercapai.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (gambar) bertitah, cadangan tersebut perlu dipertimbangkan kerana negeri-negeri lain sudah mempunyai lebih daripada sebuah kampus yang secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat setempat.

Selain itu, titah baginda, langkah tersebut memastikan UiTM menggunakan sepenuhnya keluasan tanah dimiliki untuk menyediakan prasarana pembelajaran kepada pelajar.

"UiTM sebagai IPT (institusi pengajian tinggi) terbesar di Malaysia dengan mempunyai kampus di setiap negeri juga harus mempunyai jaringan alumni besar lagi mantap serta dana yang kukuh," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan Persatuan Alumni UiTM Perlis di Dewan Seri Semarak, kampus UiTM Perlis, di sini baru-baru ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayob dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad.

Menurut baginda, jumlah alumni UiTM yang besar boleh membantu menyediakan dana untuk digunakan dalam apa sahaja cara bagi membantu dalam bidang pendidikan.

"Sebagai contoh, sekiranya alumni melebihi 400,000 orang dan tiap seorang menyumbang RM1 atau RM12 setahun, kira-kira RM4.8 juta boleh dikumpul," titah baginda.

Raja Muda Perlis turut mencadangkan sebuah dewan besar yang baru dibina di UiTM Perlis berdasarkan keperluan yang semakin mendesak pada masa kini.

Sementara itu UiTM Perlis, Arau telah mengadakan Istiadat Konvokesyen Ke-74 yang menyaksikan 277 graduan menerima ijazah masing-masing, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: