Wednesday, May 25, 2011

Fashion Valet ilham Vivy


GAYA anggun dan moden yang sesuai dengan cita rasa wanita zaman ini.


SEJAK pulang dari United Kingdom (UK) dua sahabat ini sering membantu antara satu sama lain termasuk ketika membeli-belah.

Biasanya Vivy Sofinas Yusof, 25, akan meminta bantuan sahabat baiknya itu, Fadzarudin Anuar, 25, untuk menghantarnya ke pusat membeli-belah - situasi yang sama seperti ketika mereka melanjutkan pelajaran di negara empat musim itu.

Vivy yang menggemari jenama Top Shop ini, memang tidak berpuas hati kerana terpaksa menempuhi kesesakan trafik di Kuala Lumpur, hinggalah dalam kepala masing-masing memikirkan betapa mereka patut melakukan sesuatu untuk memudahkan pembelian barangan dengan cara lebih cepat dan menyenangkan.

Terkenang ketika belajar di UK kebanyakan barangan seperti pakaian, kasut dan beg, semuanya diperoleh menerusi Internet.

Malah menurut Vivy, rakyat di negara itu ada juga yang membeli barangan runcit terus dari Internet.

"Bukankah ia satu perkara yang memudahkan serta menjimatkan masa?," getus dua sahabat ini ketika mengimbau kembali saat 'membina' gedung pakaian dan aksesori dalam talian mereka.

Memilih nama Fashion Valet (FV), Vivy dan Fadzarudin tidak berlengah lagi lalu terus membuat kajian, menambah ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat serta mengumpul data-data jenama yang boleh diletakkan dalam gedung dalam talian mereka.

Menurut Vivy, yang berdarah campuran Cina dan Melayu, hasil rekaan tempatan memang tidak kurang hebatnya.

"Selepas menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia, saya membantu bapa yang menjalankan perniagaan hartanah. Tetapi, saya tidak menemui kepuasan sebenar kerana minat yang mendalam terhadap fesyen.

"Empat bulan lalu, saya mewujudkan FashionValet.net yang menjadi hab rekaan fesyen tempatan.

"Saya mewujudkan perniagaan ini bersama rakan pengasas yang juga rakan saya, Asma' Nasaruddin dan Fadzarudin," katanya pada majlis pelancaran Fashion Valet di Bangsar Village 2, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengaku sibuk menjalankan perniagaan pada usia yang muda dan masih lagi membantu menjalankan bisnes keluarga, Vivy mahu terus memburu pereka-pereka tempatan untuk menyertai laman web FV.

"Ketika mula-mula mewujudkan bisnes ini, saya bergerak bersama kumpulan bagi menemui pereka-pereka fesyen tempatan.

"Pada bulan pertama kami berjaya mengumpulkan seramai 15 pereka tempatan tetapi, waktu itu belum ada pejabat untuk beroperasi. Dalam masa dua bulan menjalankan bisnes ini, saya mengupah empat pekerja tetap termasuk seorang pengurus dan eksekutif operasi untuk melancarkan perjalanan bisnes in," kata Vivy yang bertindak sebagai pengarah urusan.

Dengan memiliki FV, Vivy mempunyai peluang berfesyen tanpa had dan mengakui berhabis ribuan ringgit setiap bulan bagi memenuhi obsesinya terhadap fesyen.

Keseronokan Vivy berganda apabila dapat berkongsi minatnya dengan ramai pengikut blognya.

Vivy menggunakan platform tersebut bagi menggayakan jenama kegemarannya.

Antaranya termasuk Jas.C, Mimpikita, Sister Margaritta, Minz dan PU3.

"Walaupun menggemari fesyen dan suka berfesyen, saya masih mengekalkan penampilan sederhana dan feminin.

"Imej sopan sudah sebati dengan diri saya," katanya yang menggemari kaftan.

Dalam pada itu katanya, melalui FV dia mahu memperkenalkan pereka tempatan ke mata dunia dan mahu pengguna Malaysia membuka mata kepada hasil rekaan tempatan.

"Hingga kini, hasil rekaan tempatan di FV telah menembusi Brunei, Singapura, UK, Jerman, Indonesia dan Bangladesh selain Malaysia," katanya.

Ini membuktikan masyarakat luar juga menghargai rekaan fesyen tempatan.

Sehingga kini terdapat lebih 40 buah jenama di bawah FV dan menyasarkan lebih banyak penyertaan jenama pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: