Thursday, May 26, 2011

TM catat perolehan RM2.148 bilion

pix_middle

PENYEDIA perkhidmatan komunikasi dan peneraju jalur lebar negara, Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan perolehan RM2.148 bilion bagi suku pertama berakhir Mac 2011, meningkat 1.1 peratus berbanding RM2.124 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, peningkatan hasil itu dipacu oleh segmen bukan suara sebanyak 57 peratus manakala 43 peratus lagi dari segmen suara.


“Pada suku pertama tahun ini, ia menyaksikan segmen data menokok 6.8 peratus kepada RM424.6 juta manakala perkhidmatan Internet dan multimedia memberikan hasil lebih tinggi sebanyak 12.7 peratus kepada RM453.4 juta disokong oleh peningkatan jumlah pelanggan jalur lebar kepada 1.71 juta orang.

“Perkara ini menggambarkan kedudukan kami sebagai peneraju pasaran, perkhidmatan data, Internet dan multimedia kami yang kian berkembang serta pengurusan kos yang berhemah dengan pertumbuhan berterusan jumlah pelanggan Streamyx lebih 28,000 pada pada suku pertama tahun ini selain UniFi juga berjaya dilaksanakan di 808,000 premis sedia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Zamzamzairani berkata, mereka akan terus memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju dengan menyediakan lebih banyak produk dan perkhidmatan baru yang inovatif bagi memenuhi kehendak pelanggan.


“Kami sedang mengubah perniagaan dan organisasi untuk memberikan perkhidmatan komunikasi bersepadu dan penyelesaian sehenti buat pelanggan pada nilai terbaik. Ini termasuklah melaksanakan set pemangkin yang komprehensif antaranya usaha sama kandungan dan teknologi yang baru, platform pembayaran baru dan peralatan pengguna akhir,” katanya sambil menambah TM kini meluaskan lokasi WiFi Hotspot Zone di seluruh negara daripada 2,245 kepada 13,251 lokasi bagi memenuhi jangkaan 28,000 lokasi menjelang akhir tahun ini.

Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) syarikat itu naik 1.5 peratus tahun-ke-tahun daripada RM720.0 juta kepada RM730.9 juta manakala Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) Kumpulan susut 32.8 peratus kepada RM163.3 juta tahun-ke-tahun berbanding RM242.9 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.


“Selari dengan Projek-Projek Permulaan (EPP) yang relevan di bawah ETP, baru-baru ini kami memperluaskan sambungan serantau menerusi dua usaha sama antarabangsa bagi membangunkan kabel dasar laut berkapasiti tinggi iaitu projek optik gentian dasar laut Batam-Dumai-Melaka dan Cahaya Malaysia. “Kami juga menandatangani perjanjian usaha sama untuk mewujudkan ibu sawat TelePresence yang pertama di Malaysia dan menawarkan perkhidmatan TelePresence Terurus, satu lagi perancangan kukuh kami dalam meluaskan kedudukan pusat data bagi menjadikan Malaysia sebuah hab pusat data bertaraf dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: