Thursday, May 26, 2011

Kekal berseri 12 jam

BERI SOKONGAN...selebriti, Atilia (kiri) dan Joanne Yew turut hadir memberikan sokongan kepada pelancaran produk berkenaan.
BERI SOKONGAN...selebriti, Atilia (kiri) dan Joanne Yew turut hadir memberikan sokongan kepada pelancaran produk berkenaan.
TUNJUK...Zamri menunjukkan perbezaan antara bedak asas biasa dengan Maqui Miracle.
TUNJUK...Zamri menunjukkan perbezaan antara bedak asas biasa dengan Maqui Miracle.

APAKAH daya tarikan seorang wanita? Adakah pada penampilan atau solekan? Sering kali kita melihat seorang wanita bergaya anggun daripada hujung rambut hingga kaki.

Ditambah solekan yang sempurna tanpa sebarang cacat cela sehingga membuatkan sesiapa saja ingin menoleh berkali-kali.

Ada pula langsung tidak mengenakan sebarang solekan kerana ingin tampil semula jadi. Namun ramai yang kelihatan berlebihan dalam menghias wajah sehingga ada yang mengejek wajah seperti ‘tepung gomak.’

Rata-rata wanita mengakui mereka lebih bijak bergaya berbanding bersolek.

Sehingga ada menganggap solekan hanya dengan menyapu bedak (tanpa mengira jenis bedak) kemudian mencalit gincu saja.

Padahal bersolek lebih daripada itu, malah ia akan menjadi mudah sekiranya wanita mempelajari teknik serta mengutamakan asas solekan.

Memang benar tanpa gincu seseorang tidak akan menyerlah namun gincu saja tidak mencukupi untuk mendapatkan solekan sempurna tanpa mengenakan bedak asas yang mempunyai banyak kebaikan.

Terdapat pelbagai jenis bedak asas di pasaran yang mempunyai fungsi berbeza. Kesilapan memilih rona bedak asas bersesuaian kulit akan menyebabkan solekan menjadi kurang sempurna.

Menurut jurusolek profesional Lancome, Zamri Zainol, bagi mendapatkan warna yang tepat, pemilihan bedak asas bergantung kepada rona kulit.

“Sebaiknya rona bedak asas harus sama atau seakan sama warna kulit. Ambil sedikit gelap dan bukannya cerah. Ini kerana kebiasaannya wanita Melayu gemar solekan cerah sehingga tidak sedar wajah terlalu putih dan jauh berbeza daripada kulit asal.

“Justeru, sebelum membeli, pastikan anda melakukan ujian warna pada kulit
wajah dan bukannya di belakang tangan. Ini kerana warna kulit tidak sama dengan warna pada mana-mana bahagian tubuh anda,” katanya.

Sebelum membuat sapuan bedak asas, bersihkan wajah terlebih dulu bagi membuang segala kotoran dan minyak berlebihan. Selepas itu dengan sekali picit (bagi bedak asas cecair) tandakan lima titik bedak pada wajah iaitu di dahi, hidung, kedua-dua pipi dan dagu. Kemudian ratakan sama ada menggunakan jari, berus atau span.

“Jika selesa menggunakan jari, pastikan hanya jari telunjuk dan tengah saja. Ini kerana pengaliran haba pada kedua-dua jari akan menghasilkan sapuan lebih sekata dan rata. Sapuan ke atas dan ditarik ke arah luar kiri dan kanan adalah proses semula jadi bagi melancarkan peredaran darah sekali gus menjadikan wajah lebih muda,” katanya.

Ketika membuat sapuan, utamakan kawasan yang sering kemerahan terutama hidung, bawah mata dan sekeliling bibir. Jangan lupa bahagian leher supaya tidak kelihatan perbezaan yang ketara pada wajah dan leher.

Berikan lebih tumpuan pada bahagian mata dengan membuat sapuan membulat dari luar ekor mata sehingga ke pelupuk mata.

Walaupun bahagian ini kecil dan jarang dilihat, kesan ketara jelas kelihatan bagi sapuan yang tidak sekata sekiranya anda ingin mengenakan pembayang mata.
Setelah sekata gunakan bedak tabur untuk sapuan terakhir bagi mendapatkan kesempurnaan solekan.

“Pastikan anda tidak mengabaikan sapuan bedak debu. Ini kerana teksturnya yang ringan dan mudah disapu, memberi kesan lebih menyerlah pada wajah sekali gus menutup cela dan liang roma,” katanya yang menunjukkan teknik pemakaian bedak asas yang betul ketika majlis pelancaran bedak asas terbaru Maqui Miracle Lancome, baru-baru ini.

Menurut Zamri, kehadiran bedak asas cecair Maqui Miracle memberi pilihan kepada wanita dalam memilih bedak bersesuaian kulit mereka.

Ini kerana bedak ini bukan saja berfungsi mencerahkan kulit dan memberi kesan sekata, malah tahan lebih lama.

Pada majlis pelancaran berkenaan, Eksekutif Produk Lancome Malaysia, Amanda Gan, berkata wanita yang gemar bersolek inginkan solekan yang bukan saja memberi liputan sempurna, tetapi menjadikan solekan lebih cantik dan cerah.

Maqui Miracle bertindak dengan tiga cara iaitu menerusi teknologi Aura Bright yang meningkatkan ton merah jambu dan kebiru-biruan menerusi cahaya dalaman wajah sekali gus memberikan paras berseri dan semula jadi.

Ramuan kompleks yang terdapat di dalam bedak ini menjadikannya lebih ringan, bebas minyak dan kaya mineral.

“Selain itu kandungan Neurowhite kompleks dan UV SPF 26 PA++ membantu menghalang bintik perang dan melindungi kulit daripada kesan pendedahan sinaran ultraungu (UV) harian yang boleh memudaratkan.

“Daripada kajian yang dijalankan ke atas 76 wanita, mereka menjelaskan selepas pemakaian selama empat jam wajah kekal bersih, segar berseri dan kelihatan semula jadi. Malah, selepas 12 jam bedak asas masih kekal tanpa kesan minyak, penampilan masih hebat dan liputan masih ada tanpa kelihatan bertompok,” jelasnya.

Maqui Miracle kini boleh didapati di pasaran bermula Mei pada harga RM130 sebotol. Ia hadir dalam enam warna yang dikembangkan dan sesuai untuk semua jenis kulit.


Jenis bedak asas

Bedak asas cecair


- Bedak asas jenis ini menjadi kegemaran wanita kerana selain senang dipakai, ia turut memberi kesan semula jadi seperti lapisan kulit kedua.

Bedak asas ini didatangkan dalam dua jenis iaitu berasaskan air dan minyak. Sesuai untuk semua jenis kulit.


Bedak asas krim

- Bedak asas krim sering menjadi pilihan jurusolek kerana memberi liputan yang baik dan senang digunakan. Bedak jenis ini hadir dalam bentuk padat dan batang. ia juga memberi kesan licin dan tahan lama.


Bedak asas dua dalam satu

- Bedak asas dua dalam satu iaitu bedak dan bedak asas memberikan liputan menyeluruh pada wajah dengan sekali sapuan saja. Ia sesuai untuk wanita berkerjaya yang sibuk atau tiada masa bersolek lama.

Tip: Untuk solekan siang, sebaiknya guna bedak padat, bedak dua dalam satu atau cecair manakala untuk ke majlis, gunakan bedak krim, batang atau bedak asas cecair yang sedikit tebal.


Ciri-ciri bedak:

1. Bedak debu - Mempunyai ciri ringan dan mudah disapu pada wajah. Penting digunakan selepas pemakaian bedak padat dan bedak asas. Gunakan berus untuk kesempurnaan solekan.

2. Bedak padat -Isinya yang padat hanya sesuai untuk sentuhan berulang bagi kulit normal atau berminyak.

3. Bedak berkilat - Digunakan untuk menonjolkan solekan dan memberikan kesan berkilat pada wajah.

4. Bedak dua guna -Penggabungan bedak padat dan bedak asas yang tentunya menjimatkan masa dan duit. Sesuai untuk penampilan lebih anggun.

5. Bedak krim - Sesuai digunakan untuk membentuk bayangan pada tulang hidung dan tulang rahang. Pilihlah warna sedikit gelap daripada kulit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: