Tuesday, May 3, 2011

Terbaik dari Wings




WINGS adalah grup rock legenda. Orkestra Simfoni Kebangsaan atau OSK juga bukan calang-calang orkestra. Maka apabila dua ‘jentera’ ini bergabung dalam sebuah persembahan, yang terhasil daripada gabungan tersebut adalah bertaraf antarabangsa. Ia lebih daripada sekadar gabungan biasa, tetapi telah termasuk dalam kategori spektakular.

Itu rumusan secara ringkas mengenai Konsert Opera Hidup Wings bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur selama lima hari pada minggu lalu. Ia barangkali kedengaran terlalu memuji sehingga tidak nampak cacat-cela, namun itu realitinya. Konsert tersebut memang telah melepasi garis piawaian biasa-biasa, tetapi ia sepadan dengan usia 25 tahun penubuhan grup tersebut.

Syabas buat Wings yang digawangi Awie (vokalis), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (drum). Mereka telah meninggalkan sesuatu yang hangat buat semua sayap-sayap Wings (gelaran buat peminat Wings) yang dahagakan persembahan mereka.

Selaku konduktor yang mengepalai orkestra, Mustafa Fuzer Nawi juga telah mengemudi pasukannya dengan cukup cemerlang apabila dapat menguasai muzik rock di dalam ‘kapal’ miliknya dengan bunyian yang cukup kemas.

Lima hari menakluk Istana Budaya, hampir tidak ada satu malam pun kerusi di tempat berprestij tersebut kosong. Setiap malam, semua tiket habis dijual, malah Wings telah menambah satu malam ekstra selepas grup Harley Davidson membeli satu malam khas buat ahli grup jenama tersebut.

Namun apa hebatnya Wings sehingga konsert tersebut begitu sukses?

Kehebatan grup ini terletak kepada visi, disiplin dan mimpi mereka yang akhirnya menjadi satu realiti. Setiap personal grup ini mempunyai mimpi yang tinggi untuk direalisasikan. Maka apabila punya kesempatan merealisasikan visi mereka, ia disempurnakan dengan sebaik mungkin.

Kredit harus diberikan kepada si gitaris, Joe, apabila mencari inisiatif untuk merealasasikan mimpinya bergabung dengan orkestra dan menggegarkan pentas Istana Budaya yang begitu asing dengan nuansa rock.


MANTAP. Dari kiri Mus, Awie dan Mel bergabung dalam salah satu segmen dan mendendangkan lagu-lagu hit Wings.


Kemudian, ia juga menjadi begitu sukses kerana gabungan orkestra dan grup rock yang pertama kali diadakan di Malaysia. Malah hampir kesemua lagu yang dimainkan pada konsert tersebut telah disuntik semula dengan gabungan dua nuansa muzik ini. Ia telah dicantum dengan kemas, lalu melahirkan bunyi baru yang segar namun masih tidak lari daripada melodi asalnya.

“Jujurnya, memang sukar untuk kami berempat bergabung dengan pasukan orkestra. Sementelah banyak lagu harus digubah semula. Namun kerjasama itu dapat terjalin baik dengan toleransi dan kemahuan kami yang seiring untuk menggabungkan muzik kami dalam orkestra,” ujar Awie.

Lebih daripada itu, ia bergantung kepada kredibiliti dan empayar Wings itu sendiri. Selama 25 tahun ‘terbang’ meneroka industri muzik, bukan sukar untuk mereka mengajak sayap-sayap Wings berkampung di dalam Istana Budaya dan menyaksikan persembahan serba baru mereka tanpa membuang cita rasa asal peminat-peminat yang setia menyokong Wings selama ini.

Setiap malam tirai konsert dibuka dengan lagu Opera Hidup, simbolik dengan nama konsert yang dipilih. Sebaik muzik dialunkan, bagai ada satu magis yang pantas menyelinap dalam sanubari. Gabungan orkestra dengan Wings dirasa cukup sebati.

Biar harus diakui, pada awalnya bagai ada kekosongan di dalam persembahan yang selalu dimainkan secara ‘kasar’ oleh sebuah grup rock, namun ia menjadi semakin enak apabila gabungan mereka mula memuntahkan lebih banyak magis pada lagu-lagu yang berikutnya termasuk Hukum Karma, Inspirasi Taming Sari, Biru Mata Hitamku dan Bernafas Dalam Lumpur.


DARI kiri: Joe, Awie dan Eddie mempunyai karisma tersendiri.


Pengalaman yang bukan sehari dua berhadapan peminat juga digunakan Awie untuk memancing hati peminat dengan jenaka spontan dan bicara yang tersusun cantik. Selepas tiga lagu pertama dinyanyikan tanpa henti, Awie mula berinteraksi dengan peminat.

Katanya: “Kami cukup teruja untuk bergabung dengan orkestra dan bermain di dalam Istana Budaya yang penuh berprestij ini. Ini adalah hadiah kami buat peminat walaupun ini hadiah berbayar. Kami berharap dengan sokongan anda semua, kami boleh menjadi lebih maju pada masa hadapan.”

Dia kemudian menyambung persembahan dengan menyanyikan lagu Di Ambang Wati, lagu yang cukup hit sewaktu dia menjadi hero filem-filem milik Datuk Yusof Haslam.

Momentum konsert kemudian diteruskan dengan slot yang menyaksikan gabungan semula Wings bersama bekas-bekas individu yang pernah menyertai Wings iaitu Jojet (drum), Sham (gitar), Mel dan Mus selaku vokalis yang pernah menggantikan posisi Awie sewaktu dia membawa haluan sebagai penyanyi solo sekitar tahun 90-an dahulu.

Mereka bergabung mendendangkan hit Wings yang begitu mesra telinga termasuk Peronda Jaket Biru, Intanku Kesepian, Rock n Roll Lu Punya Suka, Semalam Yang Hangat dan Jerangkung Dalam Almari yang membangkit keterujaan peminat untuk turut menyanyi bersama mereka.

Wings kemudian tidak ketinggalan memainkan lagu yang telah melonjakkan nama mereka iaitu Sejati dan Taman Rashidah Utama.

Seperti mana suksesnya konsert pada sebelah malam, konsert Wings Opera Hidup Superfriends yang menyaksikan otai-otai tanah air seperti Datuk M.Nasir, Ramli Sarip, Hattan, Nash, Mus, Azlan the Typewriter dan Jaclyn Victor pada sebelah petang terlebih dahulu dijayakan dengan penuh hangat.

Semoga Wings terus terbang tinggi dan tidak jatuh terhempas ke bumi sebelum melunaskan lebih banyak visi yang mampu membanggakan industri seni tanah air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: