Saturday, May 28, 2011

Sport coupe Peugeot




SEMEMANGNYA model ini memberi impak besar kepada Peugeot. Menjadi model pertama lari daripada kebiasaan, jentera yang tergolong dalam segmen sport coupe ini tidak lagi menggunakan nombor sebagai rujukan modelnya.

Sebaliknya, Peugeot mengaplikasikan tiga abjad yang kemudiannya memberi gambaran kepada hala tuju rekaan dan perkembangan teknologi Peugeot. Bukan itu sahaja, RCZ juga membuka satu lembaran baru yang lebih dinamik dalam sejarah Peugeot.

Bagi pasaran tempatan, RCZ dibawa masuk oleh pengedar Peugeot di Malaysia yang juga anak syarikat Kumpulan Naza, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) pada minggu lalu.

“RCZ merupakan satu pernyataan rekabentuk daripada Peugeot. Rekaan luaran futuristik, ruang kabin yang mewah dan enjin penuh kuasa. Ia pasti dapat memenuhi ekspektasi mereka yang gemar memandu dan mendapat perhatian ramai.

“RCZ bersaing dalam segmen sport coupe yang niche dan kami yakin ia akan diterima baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Nasim, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Dengan tempahan yang telah diterima mencecah 35 unit setakat ini, SM Nasarudin memberitahu pihaknya meletakkan sasaran jualan sebanyak 100 hingga 150 unit RCZ menjelang akhir tahun ini.

Harus tahu bahawa pengenalan RCZ merupakan kesinambungan kenderaan gaya hidup keluaran Peugeot selepas Nasim melancarkan model 308 CC pada Januari lalu.

Sejak mengambil alih jenama Peugeot pada Januari 2008, Nasim tidak henti-henti memperkenalkan produk-produk terbaik Peugeot. Ini bagi membolehkan Peugeot bersaing dalam pelbagai segmen.

Jenama Eropah No. 1

Tahun lalu menyaksikan Nasim menaik taraf model segmen C (Peugeot 308), melancarkan sedan segmen B (Peugeot 207), selain model SUV (Peugeot 3008) dan MPV (Peugeot 5008).

Hasilnya, bagi suku pertama 2011, Nasim telah menjual sebanyak 2,088 unit Peugeot. Jumlah itu mewakili 74 peratus jualan keseluruhan pada tahun 2010. Angka tersebut meletakkan Peugeot sebagai jenama Eropah nombor satu bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini di Malaysia.

RCZ pada asalnya dipertontonkan kepada ramai pada Frankfurt Motor Show 2007. Berdiri atas nama 308 RCZ Concept, ia kemudian mengalami revolusi untuk menjelma menjadi sebuah jentera yang boleh dipandu di atas jalan raya. Semuanya kerana maklum balas positif yang diterima daripada khalayak, sekali gus membuatkan Peugeot sedaya upaya menjadikannya satu realiti.

Peugeot cuba sebaik mungkin mengekalkan rekabentuk luaran sebuah model konsep ketika membangunkan RCZ. Maka, tidak hairanlah jika rekaan luarannya tidak konvensional.


PAPAN pemuka RCZ yang canggih dan mementingkan interaksi dengan pemandu.


Terutama bahagian bumbung serta cermin belakang berbentuk ‘double bubble’ yang diperbuat daripada kaca atau karbon fiber (boleh ditempah jika anda tinggal di Eropah). Penampilan sporty itu diserlahkan lagi dengan rim aloi 19 inci, rel sisi perak dan bumbung berwarna hitam.

Diimport terus dari kilang Magna Steyr di Graz, Austria RCZ ditawarkan dengan dua konfigurasi enjin. Biarpun sesaran enjinnya sama iaitu 1.6 liter, kuasa yang dijananya adalah berbeza.

Spoiler belakang unik

Bagi unit yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, enjin petrol twin-scroll turbocharged itu berupaya menjana sehingga 156 bhp dan 240Nm tork.

Diambil daripada keluarga enjin Prince, janaan kuasa bagi varian bertransmisi manual enam kelajuan pula jauh lebih tinggi iaitu 200 bhp dan tork puncak 275Nm. Enjin yang juga bersesaran 1.6 liter itu ditambah dengan variable valve lift berbanding sistem VVT standard.

Kuasa enjin itu diselarikan dengan teknologi penambahbaikan aerodinamik Peugeot yang unik. Spoiler belakang yang ada pada RCZ direka supaya dapat dinaik dan diturunkan kepada dua posisi bergantung kepada tahap kelajuannya. Ini bagi memastikan keseimbangan yang ideal antara penggunaan bahan api dan cengkaman ketika meluncur laju di atas jalan raya.

Pada posisi pertama, spoiler belakang itu akan berada pada kedudukan 19 darjah apabila pemandu memecut RCZ melepasi kelajuan 85 kilometer sejam (km/j). Jika anda memandu perlahan (bawah 55 km/j), ia tidak akan digunakan.

Pada kelajuan melebihi 155 km/j pula, ia diletakkan pada kedudukan 34 darjah dan akan kembali kepada posisi 19 darjah apabila bergerak selaju 145 km/j ke bawah. Pemandu juga boleh mengaktifkan spoiler belakang itu secara manual dengan hanya menekan satu butang yang ada pada konsol tengah.

Karekteristik luar RCZ turut diserlahkan dengan lampu utama jenis xenon dengan ciri dinamik arah dan lampu belakang LED. Di ruang kokpitnya pula, pemandu tentu berpuas hati dengan kulit nappa yang membalut tempat duduk dan papan pemukanya.

Bagi pemandu yang tidak boleh hidup tanpa hiburan, RCZ memberikan anda sistem audio jenama JBL yang disambungkan dengan enam pembesar suara dan amplifier berkuasa 240 watt. Ia juga memiliki ciri Bluetooth dan sambungan AUX.

Sebagai sebuah sport coupe sebenar, RCZ dilihat menjadi saingan sengit buat model-model Audi TT atau Honda CRZ. Hanya setinggi 1.36 meter, model itu mengetengahkan setting tempat duduk 2+2.

Pertandingan rekabentuk


BAGI pasaran tempatan, RCZ hanya ditawarkan dalam dua warna iaitu putih dan kelabu.


“RCZ mengukuhkan lagi kekuatan Peugeot dalam aspek inovasi dan rekabentuk. Dari model Peugeot 202 dan 402 ‘Anreau’ yang dihasilkan pada tahun 1930-an hinggalah RCZ, Peugeot secara konsisten mengubah cara kita berfikir dan memahami mengenai rekaan serta kejuruteraan automotif,” kata Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George.

Samson mengumumkan bahawa pihak Nasim dan Peugeot akan melancarkan satu pertandingan rekabentuk. Ia bermatlamat berkongsi pengetahuan pembuat kereta dari Perancis itu dalam aspek rekaan dengan para pelajar tempatan.

Ada satu lagi sebab kenapa RCZ bukan calang-calang sport coupe. Peugeot menyertai perlumbaan 24 jam paling mencabar iaitu ADAC (Allgemeiner Deutscher Automobil-Club e.V.) Nurburgring di Jerman menerusi jentera tersebut.

Namun, bagi perlumbaan itu RCZ menggunakan khidmat enjin diesel 2.0 liter HDi FAP untuk bersaing dalam kategori D1T. RCZ juga bersaing dalam perlumbaan siri 201VLN di Jerman melalui pasukan Peugeot RCZ Nokia . Setakat ini, pasukan tersebut menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Anda boleh memiliki RCZ pada harga RM218,888 (automatik) dan RM223,888 bagi transmisi manual. Kenapa varian manual lebih mahal? Sebabnya, ia dilengkapi dengan cakera brek lebih besar dan bar penstabil, di samping beberapa tambahan kecil yang lain.

Untuk ketenangan fikiran, ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun dan perbatuan sehingga 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).

Ini bukan kereta untuk semua orang. RCZ lebih kepada mereka yang tidak mampu menahan adrenalin tubuh yang sentiasa mengalir. Paling penting, tidak kisah berbelanja lebih RM200,000 untuk sebuah kereta kompak. Biar apa pun alasan di sebalik pemilikannya, saya boleh jamin, pandulah kereta ini, anda pasti menjadi perhatian ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: