![]() |
| Kenny G |
MEMBUKTIKAN dirinya masih diterima peminat meski usia sudah menjangkau lebih setengah abad, si peniup saksofon paling seksi, Kenny G nyata setia menghiburkan pencinta muzik di seluruh dunia.
Ternyata ada sesuatu yang menarik minatnya untuk kembali menjejakkan kaki di bumi bertuah, Malaysia.
Kunjungannya pada 24 Mei lalu merupakan jejaknya yang ketiga selepas kali terakhir mengadakan konsert di Genting Highlands pada 2008.
Mungkin rindu dengan kehangatan sambutan peminat di sini, maka lelaki ini kembali membawakan Kenny G Live In Concert sebagai buah tangan buat peminat setianya di Malaysia.
Berlangsung di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, Kenny hadir menghiburkan kira-kira 2,000 peminat.
Mewarnai suasana dengan alunan muzik kontemporari jazz menerusi lagu pertamanya Home, Kenny mengejutkan isi dewan apabila muncul di tengah-tengah dewan selepas lampu dimalapkan.
Tidak membuang masa, dia kemudiannya membawakan lagu popular berjudul Silhouette yang tentunya mengundang jeritan peminat sebelum alunan lagu G-Bop menyusul.
Usai tiga buah lagu tersebut dialunkan, Kenny sekali lagi tampil dengan kejutan. Tetapi kali ini lebih kepada percubaannya untuk mengambil hati peminat.
“Selamat datang. Harap maaf bahasa Melayu saya tidak bagus, jadi saya akan cuba sebaik mungkin. Saya cinta Malaysia!” ujarnya dalam nada tersekat-sekat, semacam agak payah.
Bagaimanapun, Kenny wajar diberi pujian kerana tidak pernah berputus asa untuk cuba belajar mengambil hati peminat dengan taktik begitu setiap kali berkunjung di sini.
Persembahan kemudiannya diteruskan dengan dendangan lagu berjudul Havana termasuk sesi dendangan alat muzik percussion yang dipersembahkan oleh pemuzik pengiringnya.
Kehangatan malam makin terasa apabila Kenny mengalunkan pula seleksi lagu hitnya seperti Forever In Love dan Heart and Soul sebelum muncul dengan sesi berona Latin.
Nampaknya, Kenny tidak pernah sekali pun gagal mencuri hati pendengar setiap kali dia mengalunkan irama sensual Latin seperti Rhythm and Romance, Besame Mucho dan menamatkannya dengan lagu berjudul Saxoloco.
Sesi kedua persembahan menyaksikan Kenny dengan sajian seleksi lagu yang lebih memukau.
Antaranya, Dying Young, Going Home, Sade, Pick Up The Pieces dan Jasmine Flower.
Kagum juga di hati apabila menyaksikan dia meniup saksofon dan menahannya selama lebih 15 minit tanpa henti, kelihatan seperti ‘tak cukup nyawa’!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: