Wednesday, May 4, 2011

Sekinchan Ikan Bakar sedia penghantaran percuma



Restoran Sekinchan Ikan Bakar Sdn Bhd (RSIB) berhasrat menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah secara percuma menjelang awal Jun ini.

Pemiliknya, Datuk Jamal Md Yunos berkata, perkhidmatan terbaru itu adalah strategi pemasaran RSIB dalam memperkenalkan jenamanya kepada orang ramai.

“Sebagai salah satu langkah untuk meluaskan lagi rangkaian RSIB, kami akan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah secara percuma kepada pelanggan di mana mereka hanya perlu mendail pusat talian perkhidmatan yang akan dilaksanakan awal Jun tahun ini.

“Namun, tempoh masa penghantaran masih lagi di dalam kajian kerana besar kemungkinan, kami akan menyediakan set menu untuk memudahkan pelanggan memilih set yang digemari,” katanya ketika pelancaran cawangan RSIB kesepuluh di Segambut, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan rakan niaga.

Jamal berkata, perancangan untuk membangunkan RSIB di Sekinchan, Sabak Bernam masih dalam peringkat pembinaan.

Terdahulu, Jamal menyatakan hasrat untuk menjadikan RSIB sebagai salah satu lokasi peranginan dan pelancongan di negara ini.

Menurutnya, pembangunan RSIB di Sekinchan adallah pembangunan berskala besar yang bakal merubah pekan Sekinchan sebagai pusat pelancongan dengan pembinaan tapak seluas empat ekar dilengkapi dengan menara setinggi 30.3 meter yang akan menjadi mercu tanda RSIB.

Pembangunan itu akan dijalankan dalam tiga fasa dan dijangka siap menjelang Mac tahun hadapan.

“Fasa pertama akan dimulakan menjelang hujung bulan Jun ini dengan pembinaan 70 bilik hotel, menara restoran, dewan yang boleh memuatkan 1,200 orang, bilik mesyuarat dan kolam memancing,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain membuka restoran, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan katering.

Katanya, menjadi ‘trend’ kenduri perkahwinan pada waktu ini menggunakan ikan bakar sebagai hidangan utama.

Selain itu, beliau turut menggalakkan usahawan bumiputera menyertai program rakan niaga pintar yang dianjurkan bagi merebut peluang menjadi pengusaha restoran cawangan RSIB di seluruh negara.

Menurutnya, program rakan niaga pintar yang dijalankan berpeluang memberikan pelabur pulangan lebih cepat dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM500,000 bergantung kepada saiz kedai dan sewa.

Beliau menyasarkan pembukaan 30 cawangan RSIB di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

“Sambutan yang kami terima semakin meningkat. Kami telah mula membuka cawangan baru setiap minggu dan dijangkakan ia akan berlanjutan sehingga Julai ini.

“Selepas itu, kami akan berehat selama tiga bulan untuk pembukaan cawangan baru, dan akan menyambung kembali matlamat kami untuk melengkapkan 30 cawangan tahun ini,” katanya.

RSIB memperuntukkan RM16 juta bagi membuka 30 cawangan tahun ini. Lebih kurang RM2 juta diperuntukkan untuk promosi memperkenalkan cawangan baru dan sedia ada.

Setakat ini, RSIB mempunyai sepuluh cawangan sedia ada yang bertempat di Centrum Setiawangsa, Prima Sri Gombak, Kota Damansara, Puchong, Cheras, Kajang, USJ Taipan, Balakong, Kepong dan yang terbaru Segambut. RSIB turut mengadakan promosi istimewa sepanjang bulan Mei ini bagi menghargai pelanggan yang berterusan memberi sokongan kepada mereka.

Antara promosi yang dijalankan ialah promosi hari pekerja, hari ibu, hari guru dan juga promosi hari jururawat.

”Kami percaya ikan bakar yang disajikan mempunyai rasa dan keenakkan tersendiri serta harga berpatutan,”katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: