
PASTI ramai yang masih belum membuat sebarang perancangan untuk meraikan kedua-dua orang tua sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa pada bulan Mei dan Jun ini.
Jika tidak tahu mahu ke mana-mana, apa kata raikan kedua-dua ibu dan bapa anda di Restoran Seri Melayu (RSM) yang menjanjikan kelainan pada mana-mana sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa dengan menampilkan pelawak, Helmi The Gimik dan Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, RSM sekali lagi mengambil kesempatan menganjurkan Hari Istimewa Meraikan Hari Ibu dan Bapa. Ia merupakan acara tahunan kali ke-11 diadakan pada 7 Mei ini.
"Kali ini kami menjanjikan sambutan yang berlainan dan begitu istimewa sekali berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Ia bukan sekadar sambutan Hari Ibu yang biasa, tetapi kita akan cuba garapkan perasaan dalam diri hadirin terutamanya anak-anak mengenai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibu bapa sepanjang membesarkan mereka," kata Pengurus Besar Kumpulan Syarikat Seri Melayu, Johari Abdul Jalil pada sidang media di restoran tersebut baru-baru ini.
Pembuka tirai pada majlis tersebut akan dimulakan dengan persembahan tarian. Para tetamu dihidangkan dengan 150 hidangan secara bufet.
Tetamu pasti tidak kering gusi dengan persembahan Helmi The Gimik yang menggeletek hati dan menghiburkan selain berpeluang menyaksikan persembahan nyanyian beserta aksi gelek M. Daud Kilau.
Restoran Seri Melayu menawarkan sajian 1Malaysia seperti masakan Melayu, Cina dan India, malah ada antara menu tersebut dimasak terus di hadapan tetamu di gerai-gerai kecil yang disediakan.
![]() |
| ORANG ramai berpeluang menikmati makanan 1Malaysia di Restoran Seri Melayu pada sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa. |
"Seperti tahun-tahun yang lalu, dua kategori hadiah telah disediakan untuk para ibu bapa iaitu Anugerah Ibu RSM 2011 dan Anugerah Bapa RSM 2011.
"Kriteria kedua-dua anugerah ini dipilih berdasarkan ibu dan bapa yang paling senior usianya," ujarnya.
Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak ialah mencalonkan ibu bapa masing-masing dan pihak jawatankuasa RSM akan memilih pemenang.
Pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut akan memenangi hadiah berupa sehelai selempang songket bertatahkan kerongsang (ibu) atau tengkolok songket bertatahkan kerongsang (bapa), sebentuk cincin, seutas jam tangan, baucar penginapan, jambangan bunga, sebuah lukisan RSM, wang tunai RM888 dan sebuah hamper.
Selain anugerah tersebut, RSM turut memberikan dua hadiah khas kepada ibu bapa dengan kehadiran anak paling ramai dan ibu bapa dengan kehadiran keluarga yang berpakaian sedondon mengikut warna tema ungu dan putih.
Pemenang hadiah khas tersebut bakal membawa pulang baucar hidangan bufet minum petang bernilai RM500 di Restoran Berputar Seri Angkasa, Menara Kuala Lumpur, hamper, sepasang jam tangan, jambangan bunga dan sebentuk cincin berlian.
Dalam pada itu sebanyak 30 hingga 50 hadiah cabutan bertuah menanti tetamu pada majlis tersebut.
Untuk keterangan lanjut berkenaan tempahan boleh berhubung dengan bahagian tempahan dan pejabat jualan di talian 03-2145 1833, 03-2145 1811, 03-2020 5055 03-2166 6006 dan 03-2166 7007.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: