Saturday, May 7, 2011

Suara Bob Tutupoly pukau setiausaha


BOB TUTUPOLY mendendangkan lagu Widuri pada majlis Minggu Setiausaha di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SUARANYA masih merdu dan mempesonakan. Pada usia 71 tahun, Bob Tutupoly masih mampu membuatkan audiensnya terpaku di tempat duduk terhadap persembahan beliau.

Biarpun ketika tidak menyanyi, ungkapan di bibirnya ketika bercerita mengenai lagu dan anekdot peribadinya, kelunakan suara penyanyi veteran dari negara seberang itu membuatkan peminatnya terpaku.

“Saya telah mendendangkan lagu yang mempopularkan nama saya, Widuri lebih sejuta kali. Versi bahasa Inggeris akan diterbitkan tidak lama lagi. Widuri juga dinyanyikan dalam banyak bahasa. Antaranya termasuklah bahasa Tagalog, Thai dan Jepun,” kata ikon hiburan dari Indonesia itu sambil tersenyum mesra.

Bob tidak perlu berlatih atau mengadakan sesi latihan formal untuk memastikan suaranya merdu.

“Saya tiada masa untuk memilih dan berlatih setiap lagu sebelum persembahan. Isteri saya pun tahu. Saya tidak tetapkan sebarang sesi latihan.

“Jadual saya selalunya padat. Malah, saya baru pulang dari Belanda dan akan ke Indonesia untuk satu lagi persembahan,” katanya.

Lontaran suara

Beliau berada di Malaysia hanya satu malam untuk menghiburkan para setiausaha, majikan mereka dan para peminat pada majlis jamuan tengah hari di Hotel Royal Chulan sempena sambutan Minggu Setiausaha.

Bob mengakui tentang ramai wanita yang asyik apabila mendengar lontaran suaranya terutama pada usia muda. Bahkan kemerduan suara lelaki itu menyebabkan beliau menjadi dambaan ramai wanita. Tetapi Bob menegaskan: “Saya setia dengan seorang wanita iaitu isteri saya.

“Kami telah berkahwin selama 34 tahun dan perkahwinan kami sangat membahagiakan. Saya suka mendendangkan lagu-lagu cinta kerana melaluinya saya dapat meluahkan rasa hati dengan baik.

“Cinta memang membuatkan kita bahagia dan saya percaya cinta jugalah yang membuatkan saya sentiasa rasa muda dan dikasihi.”

Peminat setia kepada penghibur Hollywood terkemuka sekitar tahun 60-an, Matt Monroe itu mengakui mendengar lagu-lagu nyanyian Michael Buble ketika ditanya siapakah penyanyi generasi baru kegemaran beliau.

“Saya memang sukakan suara penyanyi Amerika yang juga pemain pioano jazz, Nat King Cole. Persamaan suara dan nada kami adalah secara kebetulan. Suara saya memang begini. Saya seronok jika dikaitkan dengan kedua-dua idola saya iaitu Monroe dan Nat King,” katanya.

Bob menghargai peranan setiausaha yang dianggapnya mengawal pintu laluan untuk bercakap dan bertemu dengan ketua mereka.

“Saya sudah mengalaminya. Saya mengusahakan perniagaan dari semasa ke semasa. Jika saya perlu bercakap dengan pembuat keputusan, setiausaha adalah mereka yang memegang kunci untuk hubungan yang berjaya. Jadi, kali ini saya menyanyi untuk mendendangkan para setiausaha. Mungkin selepas ini mudah bagi saya untuk dapat bercakap dengan bos mereka,” katanya bergurau.

Hargai setiausaha


PARA peminat Bob Tutupoly berpeluang melihat beliau dari dekat dengan persembahannya.


Acara tersebut merupakan persembahan kedua beliau berdendang pada majlis minggu setiausaha di Malaysia. Persembahan pertama beliau adalah 18 tahun yang lalu.

Hampir semua tempat duduk menerusi 58 buah meja yang ditawarkan dibeli oleh syarikat-syarikat korporat sebagai menghargai para setiausaha atas tugas dan tangggungjawab yang mereka laksanakan.

Dendangan lagu-lagu baru dan malar segar oleh Bob sememangnya memukau para setiausaha.

Ramai juga yang turut bernyanyi mengikut setiap patah lagu yang didendangkan penyanyi itu antaranya Aku Malu, Can’t Help Falling in Love, Sway, New York, New York dan Aku Cinta Pada Mu.

Sementara itu, Bob akan melahirkan album barunya sebelum akhir tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada para peminatnya sepanjang 54 tahun beliau berkecimpung dalam dunia hiburan.

“Saya bersyukur dan bangga kerana pada peringkat umur begini, saya telah mencapai semua ini. Saya hanya ada sedikit masalah kesihatan, tapi saya rasa ini yang membuatkan diri dan suara saya sentiasa manis,” kata Bob berjenaka sambil melambai tangan kepada para peminatnya sebelum mereka meninggalkan dewan persembahan pada tengah hari itu.

“Bob Tutupoly seperti keluarga bagi saya dan keluarga. Beliau berfikiran kritikal, tetapi tidak pernah cakap belakang. Beliau telus. Saya suka mendengar nasihat beliau dan saya mengambil nasihatnya secara serius,” kata Chandra Chasmala, pengarah muzik Bob yang juga anggota kumpulan D’Lloyd.

Chandra mengikut Bob ke mana sahaja penyanyi Widuri itu membuat persembahan. Menurut beliau, Bob memberikan beliau banyak pengalaman dan peluang baru dalam kerjayanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: