KUALA LUMPUR - Pasukan Prostreet Futsal FC membuat persiapan rapi bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pada bulan depan.
Pengurusnya, Mohd. Iskandar Zulkarnain A. Kadir berkata, pasukannya telah menyertai beberapa kejohanan sebelum berentap dalam kategori Lelaki Bawah 12 Tahun di Putrajaya kelak.
"Selain latihan rutin, pemain juga perlu disiapkan dari segi mental dan fizikal untuk bermain dalam suasana pertandingan.
"Sebab itulah kami menyertai beberapa pertandingan sebelum kejohanan Rentap Futsal kerana dapat mengenal pasti kelemahan yang masih ada," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Iskandar berkata, pemainnya kini bersemangat kerana berjaya menduduki tempat kedua pada pertandingan Futsal Milo Hidup Bola 2011 di Negeri Sembilan minggu lalu.
"Saya yakin pemain akan dapat meneruskan rentak permainan ketika ini dan bersemangat untuk bertarung di Putrajaya nanti.
"Saya berharap tuah akan menyebelahi kami pada tahun ini," katanya.Pada kejohanan tahun lalu, pasukan itu menduduki tempat ketujuh kategori Lelaki Bawah 12 Tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: