Tuesday, May 24, 2011

Penumpang bot tak sayang nyawa

KEBANYAKAN penumpang bot ke Pulau Aman mengabaikan keselamatan diri dengan tidak memakai jaket keselamatan.
KEBANYAKAN penumpang bot ke Pulau Aman mengabaikan keselamatan diri dengan tidak memakai jaket keselamatan.
Pakai jaket keselamatan jika ada tindakan penguatkuasaan atau selepas tragedi

BATU KAWAN: Peraturan pemakaian jaket keselamatan bagi pengangkutan air bukan perkara baru, bahkan semua pihak, sama ada pengusaha bot dan feri atau penumpang memahami kepentingannya.

Namun, berapa ramai akur peraturan itu. Hakikatnya, peraturan itu hanya dipatuhi apabila ada tindakan penguatkuasaan atau untuk tempoh tertentu selepas berlaku tragedi dan selepas itu peraturan dilupakan.
Tinjauan Berita Harian bagi perjalanan menaiki bot dari Jeti Musang di sini, ke Pulau Aman di sini, baru-baru ini mendapati pengusaha bot dan penumpang seolah-olah sudah 'lupa' dan tidak mengendahkan keperluan untuk memakai jaket keselamatan.
Walaupun perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Setiap bot boleh membawa 12 penumpang.

Penumpang bot pula seolah-olah tidak sayangkan nyawa walaupun jaket keselamatan disediakan.

Mereka seolah-olah tidak nampak jaket keselamatan itu dan pengusaha bot pula tidak mengeluarkan arahan supaya penumpang memakainya demi keselamatan diri.
Malah, jika pengusaha bot meminta penumpang memakai jaket keselamatan sekalipun, mereka mengabaikannya.
Ada penumpang yang datang bersama keluarga membiarkan anak mereka duduk di bahagian yang berbahaya di atas bot.

Seorang pemandu bot yang enggan dikenali berkata, hampir semua penumpang tidak mahu mengenakan jaket keselamatan kerana berasakan ia menyusahkan kerana jarak perjalanan yang singkat.

“Sejak bot penumpang ini beroperasi tidak pernah berlaku kemalangan yang mengancam nyawa. Pernah enjin rosak tetapi dalam masa beberapa minit bot kedua datang mengambil penumpang," katanya.

Seorang pengunjung pula mendakwa mereka tidak diarahkan oleh pemandu bot supaya memakai jaket keselamatan.

"Perjalanan pun sekejap saja... lagipun susah nak bergerak jika pakai jaket. Saya tengok pemandu bot pun tidak pakai jaket," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: