SEBAHAGIAN kenderaan yang terperangkap banjir kilat di Wisma Persekutuan.
JOHOR BAHRU: Hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini berdepan dengan kejadian banjir kilat hingga mencemaskan pemandu yang bimbang kenderaan masing-masing terperangkap.
Antara kawasan berdepan bencana alam itu termasuk sekitar Wisma Persekutuan dan bangunan sekitar Jalan Ayer Molek serta Jalan Syed Muhd Mufti.
Hujan yang bermula selepas solat Jumaat tidak memberi kesempatan untuk kakitangan dan pengunjung mengalihkan kenderaan apabila paras air yang naik mendadak separas pinggang. Akibatnya banyak kenderaan terperangkap di pekarangan wisma Persekutuan serta sepanjang Jalan Air Molek dan Jalan Syed Muhd Mufti.
Mangsa banjir kilat, Fakrul Radzi, 33, berkata kejadian seumpama itu bukanlah kali pertama kerana boleh dikatakan setiap kali hujan lebat dengan keadaan laut pasang, banjir kilat pasti berlaku.
Keadaan ini adalah paling teruk saya tempuh kerana air naik terlalu cepat. Cuaca tidak menentu sekarang ditambah dengan paras air laut yang semakin naik menyebabkan banjir kilat mudah melanda. Habis kereta saya tersadai, tak tahu pula berapa kos untuk membaikinya" katanya.
Selain kesesakan kakitangan yang terkandas di wisma, petugas bomba dan penyelamat sibuk membantu kanak kanak TASKA dan TABIKA berhampiran ke lokasi selamat selepas mereka terkandas untuk pulang kerana paras air yang tinggi.
Beberapa kaki tangan Wisma Persekutuan yang ditemui berpendapat sistem saliran dan kedudukan tanah yang rendah adalah punca utama banjir kilat mudah berlaku.
"Sistem saliran di sini perlu dibesarkan. Kawasan di sini rendah, bila laut pasang, airnya akan memasuki sistem saliran yang ada di keliling wisma, bila hujan lebat, air yang tidak dapat mengalir keluar akan melimpah.
"Sepatutnya, sistem tebatan yang sudah dilaksanakan di sini dapat mengelak banjir kilat tetapi keadaan kini lebih buruk," kata penjawat awam yang enggan namanya disiarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: