Sunday, May 1, 2011

Pencarian Chef Saji bermula


Haiza


JIKA anda mempunyai bakat memasak dan ingin bergelar Chef Saji & Rempah Mak Dara 2011, inilah peluangnya. Majalah Saji dengan kerjasama Rempah Mak Dara membuka peluang kepada mereka yang berbakat dalam bidang memasak mengikuti pertandingan Pencarian Chef Saji & Rempah Mak Dara 2011.

Pada 14 Mei depan, pertandingan itu akan diadakan pada pukul 2 petang di Village Mall, Sungai Petani, Kedah. Sungai Petani merupakan lokasi kedua pertandingan ini diadakan selepas Mahkota Parade, Melaka.

Dengan yuran hanya RM35 seorang, peserta ditawarkan hadiah RM500 bagi tempat pertama, RM300 tempat kedua dan RM150 tempat ketiga bagi kategori saringan peringkat zon.

Manakala peringkat akhir yang akan diadakan di Kuala Lumpur nanti, pemenang pertama akan membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000 tempat kedua dan RM1,500 bagi tempat ketiga.

Para peserta dikehendaki membawa barangan masakan sendiri dan pihak Saji hanya menyediakan dapur memasak canggih Kinowell Healthy Kitchen, dan gas tajaan Petronas serta rempah kari ikan, kari daging, kurma, beriani, kari ayam daripada Rempah Mak Dara.

Selain itu beberapa penaja bersama turut akan menyumbangkan hadiah di peringkat akhir itu nanti. Antaranya ialah pakej percutian Plus & Plus Travel & Tours Sdn. Bhd. yang menawarkan pakej percutian tiga hari dua malam dan barangan tajaan Superware dan Kinowell Healthy Kitchen.

Dalam pertandingan peringkat saringan para peserta dikehendaki memasak dua jenis masakan iaitu nasi dan lauk berasaskan barangan Rempah Mak Dara selama sejam.

Setiap pertandingan mereka akan diadili chef selebriti seperti Chef Ismail dari Rebung, Chef Florence Tan, Jaffar Onn dan Chef Sabri serta chef jemputan daripada hotel.

Para peserta akan dihiburkan juga dengan persembahan Haiza yang juga selaku pengacara majlis dan menyaksikan demo memasak oleh pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib.

Pencarian Chef Saji & Rempah Mak Dara juga mendapat sokongan penaja seperti Gas Petronas, Luminarc dan China Pottery.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu bolehlah berhubung terus dengan eksekutif pengurusan jenama Utusan Karya, Laila Sufra di talian 012-2894998 atau 03-89262999 (waktu pejabat).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: