Saturday, May 28, 2011

Nama Abdull gah tanpa ijazah


Selepas 30 tahun mengutip pengalaman, Chef Abdull Khuttus semakin dikenali malah turut menjadi chef jemputan di hotel. Kepakarannya juga diwarisi oleh anaknya, Muhammad Ihsan (kanan).


BOLEH dikatakan hampir setiap chef yang bekerja di hotel lima bintang atau restoran-restoran terkemuka memiliki pendidikan formal dalam bidang berkaitan.

Bagaimanapun, ada chef yang tidak memiliki pendidikan formal tetapi mendapat tempat yang baik dalam bidang berkenaan. Ini kerana mereka mempunyai pengalaman yang dikutip atau dipelajari sama ada secara turun-temurun atau pekerjaan.

Misalnya, Chef Abdull Khuttus Haja Naideen yang berasal dari Pulau Pinang tidak memiliki sijil, diploma atau ijazah dalam bidang berkenaan tetapi berpeluang berkhidmat sebagai tukang masak di restoran terkemuka dan juga menjadi chef jemputan di sebuah hotel lima bintang.

Chef tersebut yang pakar memasak nasi kandar ketika ditemui S3 di restoran The Verandah di Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia mempelajari cara-cara memasak daripada arwah bapanya yang terkenal dengan masakan nasi kandar.

“Ketika saya berusia tujuh tahun lagi, saya sempat membantu ayah menggandar bakul yang berisi nasi untuk dijual di merata-rata tempat.

“Dari situ sehingga sekarang, saya mengutip pengalaman demi pengalaman. Saya tiada pendidikan formal dalam bidang ini kecuali berbekalkan pengalaman.

“Keistimewaan nasi kandar masakan kami ialah menggunakan resipi sendiri. Kami guna rempah yang digiling dan dibeli dari Pulau Pinang,” katanya.

Arwah bapa Abdull Khuttus merupakan pengusaha dan pemilik Restoran Haja Naideen yang terkenal di Chowrasta, Pulau Pinang dan kini diwarisi oleh beliau.

Beliau berkata, sejak nasi kandar Haja Naideen diperkenalkan di Hotel Federal pada 2009, resipi keluarganya itu semakin diminati pelanggan hotel tersebut termasuk pelancong dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Australia.

Menu istimewa yang ditampilkannya ialah ayam ros, gulai ikan 10, daging masak kicap, lai-lai mi goreng mamak dan mi rebus.

Sebagai pesanan kepada bakal-bakal chef atau tukang masak, Abdull Khuttus menasihatkan, pendidikan formal tidak menjamin kejayaan dalam bidang tersebut.

“Sebaliknya pengalaman yang dikutip melalui pekerjaan dan kemudian dikembangkan menerusi ciptaan resipi sendiri akan membantu kerjaya anda.

“Saya sendiri tidak bersekolah tinggi dan tiada pendidikan formal dalam bidang ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: